Juara dunia Muay Thai: Perak iktiraf kejayaan Rifdean

Abd Razak Mohd Ali
Disember 16, 2021 14:13 MYT
Mohammad Rifdean (kiri) berjaya menumpaskan peserta tuan rumah yang juga bekas juara dunia, Naruephon Chittra dalam pertarungan yang diadakan di Stadium Nasional di Bangkok, Thailand pada Sabtu lalu. - Foto BERNAMA
IPOH: Kerajaan negeri Perak mengiktiraf kejayaan atlet Muay Thai, Mohammad Rifdean Masdor yang berjaya memenangi pingat emas di Kejohanan Muay Thai Dunia 2021 dalam kategori Bawah 23 Lelaki 48 Kilogram di Thailand, baru-baru ini.
Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, kerajaan negeri mengucapkan tahniah di atas kejayaan itu.
“Tahniah kepada Rifdean kerana menjadi seorang anak muda yang telah pun menjadi jaguh dunia.
“Kita akan pastikan usaha-usaha untuk menjaga dan juga mengiktiraf kejayaan ini akan kita laksanakan,” katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Negeri Perak, di sini, hari ini.
BACA: Atlet Muay Thai negara terus cemerlang, tambah 2 emas pada Kejohanan Dunia 2021
Atlet Sukan Malaysia (Sukma) Perak berusia 19 tahun itu yang turut terlibat di dalam Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN), berjaya menumpaskan peserta tuan rumah yang juga bekas juara dunia, Naruephon Chittra dalam pertarungan yang diadakan di Stadium Nasional di Bangkok, Thailand pada Sabtu lalu.
Kemenangan itu, sekali gus menebus kekalahannya yang sebelum ini memenangi pingat perak pada kejohanan yang sama pada tahun 2019.
#Atlet Muay Thai #Mohammad Rifdean Masdor #Kejohanan Muay Thai Dunia #rangkul emas
;