Jualan tiket 'Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia 2024' capai lebih 50 peratus

Bernama
September 3, 2024 18:31 MYT
Tiket ditawarkan terhad kepada 3,000 tempat duduk telah mula dijual 28 Ogos lepas.- Sumber foto IG faitheventsmy
KUALA LUMPUR: Lebih 50 peratus tiket 'Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia 2024' telah terjual sebelum legenda seni bela diri campuran (MMA) yang diberi julukan 'The Eagle' itu membuat penampilan istimewa di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pada 29 Sept ini.
Ketua Pegawai Operasi Faith Events Munira Mustafa berkata tiket ditawarkan terhad kepada 3,000 tempat duduk telah mula dijual 28 Ogos lepas di www.khabibmalaysia.com dan kini hanya tiket bagi zon Dagestan - Aras 6 (RM 159), Undisputed - Aras 5 (RM 259) dan Send Me Location - Aras 4 Tengah/Belakang (RM 399) masih ditawarkan.
"(Tiket) kita dah hampir habis dijual dan kita akan adakan kerjasama radio tidak lama lagi dengan beberapa pihak tapi masih dalam perbincangan dan dengan promosi seperti ini kita boleh buat sehabis baik dan menjadi acara 'sold-out', insya-Allah," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Faith Events Khairul Amar Razali bersyukur apabila usaha memikat Khabib untuk datang ke Malaysia yang bemula pada 2021, akhirnya berjaya dan Khabib akan menjejakkan kaki buat kali pertama di negara ini.
Khabib, 35, yang menceburi seni mempertahankan diri sejak kecil di bawah bimbingan arwah bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov, membuat penampilan sulung Ultimate Fighting Championship (UFC) pada 2011 dan bersara sebagai juara kelas lightweight yang tidak pernah kalah pada 2021 dengan rekod menakjubkan 29-0.
Beliau bukan sahaja terkenal kerana kemahiran bertarung tetapi turut dianggap sebagai antara petarung paling dominan dalam sejarah sukan UFC dan diletakkan dalam UFC Hall of Fame pada Julai 2022.
-- BERNAMA
#Khabib Nurmagomedov #MMA #UFC #The Eagle