Jual mahal, Manchester City rela lupakan Alexis Sanchez

Astro Awani
Januari 12, 2018 05:55 MYT
Kesediaan City melupakan Sanchez menjadikan Manchester United sebagai kelab tunggal Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mengintai khidmat penyerang Arsenal itu. - Gambar AP
HARAPAN Manchester City untuk mendapatkan khidmat Alexis Sanchez mungkin sudah bernoktah selepas kelab itu tidak sanggup membayar harga yang ditetapkan Arsenal.
Arsenal meletakkan harga 35 juta pound kepada mana-mana kelab yang mahu mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Chile itu.
Ini tidak termasuk caj 5 juta pound lagi yang dikenakan ejen pemain itu atas peranannya dalam rundingan, sekali gus menjadikan jumlah yang perlu dibayar mencecah 40 juta pound, dua kali ganda daripada jumlah yang sanggup dibayar The Citizens.
Sanchez, 29, dijangka meninggalkan The Gunners bulan ini sekiranya ada mana-mana kelab yang sanggup membayar jumlah itu dengan syarat Arsenal mampu mendapatkan penggantinya.
Sementara itu kesediaan City melupakan Sanchez menjadikan Manchester United sebagai kelab tunggal Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mengintai khidmat penyerang itu.
Pengurus The Red Devils Jose Mourinho pada Jumaat menyifatkan Sanchez sebagai ‘pemain fenomena’.
Bagaimanapun Mourinho tidak mahu terburu-buru bagi menandatangani sebarang kontrak kerana baginya pemain yang mahu menyarung jersi The Red Devils perlu benar-benar berkualiti.
“Saya sendiri, lembaga pengarah serta pemilik United tidak terlalu percaya kepada pasaran Januari. Kami tidak mahu sekadar mendapatkan pemain.
“Apa yang kami percaya terdapat ramai pemain dalam dunia bola sepak, jika kamu berpeluang mendapatkan mereka pada Januari, Mac atau Julai, apa salahnya?” jelas Mourinho.
Turut merisik bagi mendapatkan Sanchez adalah gerrgasi bola sepak Perancis Paris Saint Germain (PSG) namun Sanchez awal-awal lagi menolak kerana lebih berminat untuk beraksi bersama Manchester City.
#Alexis Sanchez #Arsenal #Chile #EPL #Jose Mourinho #Manchester City #Manchester United #PSG
;