Jual beli Rangnick

Astro Arena
Disember 2, 2021 13:31 MYT
Rangnick dikenali dengan corak permainan mempertaruhkan tekanan tinggi, memerlukan kerja keras daripada setiap pemain di atas padang serta tidak gemar dengan hantaran ke belakang - Foto Astro ARENA
TEMPOH pelantikan Ralf Rangnick selaku pengurus sementara Manchester United masih kurang dari seminggu tetapi beberapa nama mula dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford.
Rangnick – yang dikenali dengan corak permainan mempertaruhkan tekanan tinggi, memerlukan kerja keras daripada setiap pemain di atas padang serta tidak gemar dengan hantaran ke belakang – dikatakan telah mula mengenal pasti pemain untuk dibawa ke England.
Tatkala pemain sedia ada The Red Devils seperti Jesse Lingard, Dean Henderson dan Anthony Martial telah dikaitkan dengan jalan keluar susulan kurang tempoh minit permainan bersama United, terdapat empat nama – seperti dilaporkan Bild di Jerman – akan dikejar Rangnick bagi memperkuatkan sentuhannya sepanjang tempoh enam bulan selaku pengurus serta dua tahun sebagai konsultan di Old Trafford.
Erling Haaland – Borussia Dortmund
Hubungan baik pengendali berusia 63 tahun itu dan bapa penyerang sensasi tersebut, Alf-Inge Haaland, menyebabkan nama bekas penggempur RB Salzburg dikaitkan dengan perpindahan ke United.
Musim lalu, Haaland meledakkan 41 gol dalam 41 perlawanan buat Dortmund dan biarpun dipalit isu kecederaan musim ini, pemain dengan ketinggian 1.94m itu telah pun mencipta 14 gol hasil daripada 11 perlawanan. Persoalannya, adakah kelab gergasi lain di Eropah seperti Real Madrid dan Bayern Munich akan membiarkan senario itu berlaku?
Amadou Haidara – RB Leipzig
Bintang tengah Mali itu tiba di Red Bull Arena ketika musim 2018-19, di mana Rangnick bertindak sebagai pengurus Die Rotten Bullen ketika itu. Namun, nasibnya agak malang ekoran kecederaan lutut serius yang dialami sehingga menyebabkan Haidara hanya sempat beraksi dalam sembilan perlawanan di bawah kendalian Rangnick.
Untuk musim ini, prestasi Haidara tetap lebih baik daripada sesetengah pemain dimiliki United di bahagian midfield. Dia mencipta sebanyak sebanyak sembilan peluang, menghasilkan hantaran sempurna di kawasan lawan (317) serta kawalan bola sempurna (16). Ketiga-tiga aspek itu jelas lebih baik jika dibandingkan dengan Scott McTominay dan Fred di United.
Christopher Nkunku – RB Leipzig
Nama bintang muda Perancis ini jelas mencuri tumpuan susulan kejayaan meledakkan 13 gol dalam 19 perlawanan bagi semua saingan terutama hatrik yang dihasilkan ketika berdepan Manchester City bagi aksi Liga Juara-Juara Eropah. Walaupun Leipzig mengalami prestasi terumbang-ambing ketika ini, persembahan Nkunku sentiasa taruhan utama buat pengendali, Jesse Marsch.
Situasi tidak menentu melibatkan kontrak Paul Pogba bersama Manchester United yang bakal menemui penghujung ketika musim panas nanti menambahkan lagi kebarangkalian untuk The Red Devils mencari pengganti dan nama Nkunku dilihat sebagai salah satu alternatif.
Timo Werner – Chelsea
Sejak hadir ke Stamford Bridge dengan tanda harga bernilai GBP47.5 juta pada musim lalu, pemain yang terkenal dengan corak larian pantas sehingga menerima jolokan ‘Turbo Timo’ ini masih bergelut untuk memenuhi tuntutan The Blues walaupun membantu skuad kendalian Thomas Tuchel itu menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah bagi musim 20-21.
Berdasarkan tempoh yang diraih sewaktu memperkuatkan Leipzig, 34 gol yang dihasilkan ketika musim terakhir di Jerman tampak dijadikan ukuran oleh Rangnick untuk memperbaiki ukuran usia dalam skuad United, lebih-lebih lagi dengan Cristiano Ronaldo yang kini berumur 36 tahun serta Edinson Cavani (34).
#Ralf Rangnick #Manchester United #pengurus Manchester United
;