Josiah Ng menyinar, Azizulhasni malap dalam Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan
Bernama
Jun 12, 2013 20:40 MYT
Jun 12, 2013 20:40 MYT
Pelumba trek berpengalaman, Josiah Ng mencatat kemenangan berganda apabila mengungguli acara pecut dan 1km ujian masa elit lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras, di sini, hari ini.
Josiah yang sebelum ini muncul pemenang dalam acara 1km ujian masa pagi tadi, menumpaskan pelumba Perak, Muhamad Edrus Md Yunos dalam acara pecut petang ini selepas mencatat masa 11.395 saat dan 12.057s.
Paling mengejutkan pada hari pertama kejohanan berkenaan apabila pelumba Melaka, Muhd Arfy Qhairant Amran mengenepikan cabaran pelumba sensasi negara, Azizulhasni Awang dengan masa 11.345s dan 11.794s untuk meraih pingat gangsa.
Pelumba elit wanita negara, Fatehah Mustapa yang mewakili Terengganu pula tidak menghadapi masalah untuk meraih emas bagi kategori wanita dalam acara itu apabila mengalahkan Lauretta Eva Adrian dari Perlis dengan masa 14.009s dan 13.657s.
Pada pagi tadi, Josiah yang kali terakhir memenangi acara 1km ujian masa di Melbourne, Australia tiga tahun lepas, membuktikan kehebatan apabila muncul juara acara berkenaan apabila mengenepikan cabaran enam lagi pelumba kebangsaan dengan catatan 1 minit 07.927 saat.
Tempat kedua milik pelumba Perak, Muhamad Edrus Md Yunos yang mencatat 1:09.490s diikuti Muhd Arfy Qhairant Amran dari Melaka dengan catatan 1:09.731s.
Tempat keempat disandang Muhammad Elmi Jumari (Selangor-1:11.414s) diikuti Mohammad Al-Ghazali Abd Hamid (Kelantan-1:12.301s), Mohamad Fairet Rusli (Negeri Sembilan-1:12.344s) dan Muhammed Syafiq Syazwan Zainuddin (Kelantan-1:18.451s).