Joshua ikuti latihan di PISA sebelum Sukan Sea Filipina 2019

Bernama
Oktober 10, 2019 21:04 MYT
Atlet lawan pedang negara Joshua Koh I-Jie (kanan) menjalani latihan sebagai persediaan Sukan SEA KL2017 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC). Foto: Bernama
Peserta lawan pedang negara, Joshua Koh I-Jie bergantung kepada sesi latihan selama enam minggu di Pisa, Itali, bagi mempertajamkan kemahiran dan meningkatkan keyakinan diri menjelang temasya Sukan SEA Filipina 2019, bulan depan.
Peserta berusia 28 tahun dalam kategori epee itu, akan mengikuti latihan di bawah jurulatih tersohor dari Itali, Enrico Di Ciolo di Kelab Scherma Antonio Di Ciolo di Pisa bermula Ahad ini, bagi mencapai impian untuk pulang dengan sebutir pingat dari Filipina.
"Tahap keyakinan tidak begitu tinggi pada ketika ini dan percaya selepas latihan bersama peserta berprestasi tinggi akan membolehkan saya lebih yakin. Saya akan berlatih bersama beberapa peserta antarabangsa Itali yang turut berlatih di kelab itu.
"Itali merupakan tempat yang ideal kerana ia adalah negara kuasa besar dalam sukan lawan pedang. Bukan sahaja mereka mempunyai peserta lawan pedang bertaraf antarabangsa tetapi juga ramai peserta lain dapat mmembantu meningkatkan tahap kita. Di Malaysia, kita hanya mempunyai peserta lawan pedang yang terhad," katanya kepada Bernama pada Khamis.
Joshua, yang menghuni ranking ke-165 dunia dan ketiga di Asia Tenggara di belakng peserta Vietnam, Nguyen Tien Nhat (65) dan Nguyen Phuoc Den (154), mengakui tidak tertekan apabila menjadi sandaran utama membawa pulang pingat daripada temasya dwitahunan itu.
Joshua, yang aktif dalam sukan itu sejak 2003, memenangi gangsa acara berpasukan pada penampilan sulung di Sukan SEA 2007 Korat sebelum merangkul emas individu dan gangsa berpasukan pada edisi 2011 Indonesia serta gangsa acara individu pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Beliau gagal membawa pingat pada edisi 2015 di Singapura.
Dalam Sukan Asia, Joshua hanya mampu mara ke pusingan 32 pada edisi 2010 dan pusingan 16 pada edisi 2018.
-- BERNAMA
#Enrico Di Ciolo #Itali #Joshua Koh Ijie #kemahiran #keyakinan diri #lawan pedang #PISA #Sukan SEA Filipina
;