Joseline sanggup guna duit sendiri ke Sukan Asia 2018
Bernama
Julai 2, 2018 21:03 MYT
Julai 2, 2018 21:03 MYT
Penembak senior negara, Joseline Cheah Lee Yean sanggup berkorban dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi merealisasikan impiannya untuk beraksi pada Sukan Asia Indonesia 2018, Ogos depan.
Menurut beliau, sukan menembak diletakkan dalam kategori B, bermakna segala perbelanjaan di Sukan Asia akan ditanggung sendiri oleh persatuan atau atlet terlibat dan akan dibayar semula sekiranya mendapat sebarang pingat kelak.
"Saya difahamkan Persatuan Menembak Kebangsaan (NSAM) akan mengadakan mesyuarat dan segala keputusan mengenai perbelanjaan atlet di Sukan Asia akan diputuskan esok...sekiranya mereka tidak tanggung perbelanjaan atlet, saya sanggup korbankan wang saya untuk ke sana.
"Untuk ke Sukan Asia, saya perlu membelanjakan hampir RM5,000 bagi membiayai kos penerbangan, tempahan baju seragam dan penginapan," katanya kepada pemberita selepas lawatan Ketua Kontinjen negara ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi ke pusat latihan menembak di sini hari ini.
Peluang beraksi di Sukan Asia pastinya tidak mahu dilepaskan penembak negara itu yang mengintai penampilan ketiganya di temasya sukan terbesar di rantau Asia ini yang bermula 18 Ogos hingga 2 Sept.
Sebelum ini, Joseline pernah mewakili negara pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar dan edisi 2010 di Guangzhou, China.
Saingan sengit selain status Sukan Asia yang dilabel setaraf Sukan Olimpik menjadi motivasi terbaik untuk Joseline melakar kejayaan manis di Palembang, lokasi acara menembak yang dijadual berlangsung.
Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia itu akan mengambil bahagian dalam acara 10 meter air pistol individu dan berpasukan campuran.
Untuk rekod, penembak elit kelahiran Pulau Pinang itu pernah memenangi pingat perak di Kejohanan Menembak Siri Dunia di Munich, Jerman pada 2013.
-- BERNAMA
#atlet negara
#Indonesia
#Joseline Cheah Lee Yean
#NSAM
#penembak senior negara
#perbelanjaan sendiri
#sukan
#Sukan Asia