Jordan Henderson dinobat pemain terbaik FWA

Agensi
Julai 24, 2020 23:05 MYT
Jordan Henderson memperoleh undi terbanyak berbanding Kevin De Bruyne (Manchester City), penyerang Manchester United, Marcus Rashford dan rakan sepasukannya, Virgil Van Dijk serta Sadio Mane. - Foto AP
KAPTEN pasukan Liverpool, Jordan Henderson dinobat sebagai pemain terbaik Persatuan Penulis Bola Sepak (FWA) selepas berjaya mengetuai kelab itu untuk muncul sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama kali selepas 30 tahun.
Pemain tengah England itu memperoleh undi terbanyak berbanding Kevin De Bruyne (Manchester City), penyerang Manchester United, Marcus Rashford dan rakan sepasukannya, Virgil Van Dijk serta Sadio Mane.
Apa yang mempengaruhi pungutan suara memihak kepada Henderson adalah daya kepimpinan tinggi yang dipamerkan di atas padang walaupun saingan terpaksa ditangguhkan selama tiga bulan akibat COVID-19.
"Saya menerima pengiktirafan dengan mewakili seluruh skuad kerana tanpa mereka saya tidak berada di posisi untuk menerima penghargaan ini.
"Saya berharap siapa yang mengundi saya turut menghargai sumbangan yang diberikan oleh rakan sepasukan," jelasnya.
Sepanjang khidmatnya sebagai kapten, Liverpool meraih gelaran juara dengan berbaki tujuh perlawanan lagi, dan dengan kelebihan 18 mata ke atas Manchester City menjelang pusingan perlawanan akhir pada Ahad.
Henderson yang berusia 30 tahun, bersama-sama dengan pemain lain juga membuat satu inisiatif ketika tempoh perintah berkurung ekoran COVID-19 untuk mengumpul dana kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS).
Turut tercalon ialah Trent Alexander-Arnold, Alisson Becker, Raheem Sterling, Aaron Wan-Bissaka, Sergio Aguero, Adama Traore, Danny Ings, Jack Grealish, James Maddison dan Jonny Evans.
#bola sepak #COVID-19 #England #EPL #Jordan Henderson #kapten pasukan #koronavirus #Liga Perdana Inggeris #Liverpool #Manchester City #Manchester United
;