Joo Ngan sambut baik kerjasama UIAM-ISN
Astro Arena
April 19, 2017 23:03 MYT
April 19, 2017 23:03 MYT
BEKAS atlet berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan, menyambut baik kesediaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) dalam menaik taraf terowong angin sedia ada bagi membantu atlet berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, meraih emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Joo Ngan menyambut baik kesediaan Kementerian Belia dan Sukan menerusi ISN untuk memperuntukkan RM30 juta bagi pembiayaan kos terowong angin itu, yang turut boleh digunakan atlet sukan lain.
Namun, beliau berasakan tiada salahnya jika ISN dan UIAM menggembleng tenaga dalam menghasilkan terowong angin yang berkesan yang mampu membantu Azizulhasni mencapai sasaran di Tokyo.
"UIAM dan ISN perlu bekerjasama untuk membantu Azizulhasni untuk cemerlang di Sukan Olimpik Tokyo, saya percaya perkara ini adalah satu langkah permulaan bagi meningkatkan mutu sukan negara ini," katanya.
Nada sama turut disuarakan seorang lagi bekas atlet berbasikal negara, Rizal Tisin.
Bagi Rizal, Azizulhasni berhak menerima segala sokongan selepas bergelar juara dunia dalam memastikan impian emas Olimpik pertama berjaya diraih pada 2020.
"Gabungan dua institusi ini mampu meningkatkan pengetahuan sains sukan di Malaysia, saya berpendapat wajar kita memberikan bantuan kepada Azizulhasni," ujarnya.
Selain basikal, terowong angin juga memanfaatkan lain-lain sukan seperti pelayaran, luncur ais, ski ais dan Formula Satu.
#atlet berbasikal
#Azizulhasni Awang
#Institut Sukan Negara
#ISN
#Ng Joo Ngan
#Sukan Olimpik Tokyo 2020
#terowong angin
#UIAM
#Universiti Islam Antarabangsa Malaysia