Jong Hyun wira THT pertahankan Piala Sumbangsih MHL 2023
Bernama
Februari 9, 2023 00:33 MYT
Februari 9, 2023 00:33 MYT
KUALA LUMPUR: Terengganu Hockey Team (THT) berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih dalm saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 selepas menundukkan Tenaga Nsional Berhad (TNB) 4-3, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini.
Permain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun, muncul wira pasukan THT apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu pasukan Pantai Timur itu merangkul kejuaraan serta tiga mata pertama dalam saingan liga musim ini.
Kedua-dua pasukan dilihat bermula garang untuk memburu jaringan, namun TNB terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi pemain tengah, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, menerusi gol padang pada minit ke-13.
THT, bagaimanapun, berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd Fikri Saari pada minit ke-20.
TNB yang terus mengasak kubu lawan, berhasil mendapatkan jaringan kedua melalui pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minit ke-32 sebelum THT merapatkan kedudukan menerusi pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun, dua minit kemudian.
Shello Silverius terus menambah derita TNB apabila menyempurnakan jaringan pada minit ke-43, namun TNB kembali merapatkan jurang jaringan menerusi Muhammad Amirul Amizan Azahar pada minit ke-49.
THT kemudian berjaya memperoleh gol kemenangan hasil jaringan peribadi kedua, Jong Hyun, pada minit ke-58 dan keputusan kekal 4-3 sehingga wisel penamat.
Sementara itu, perlawanan Piala Sumbangsih MHL Wanita menyaksikan Negeri Sembilan (NSE) muncul juara selepas menundukkan pasukan Uniten Thunder (KPT) 2-1 menerusi penentuan pukulan penalti.
Kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1 sehingga wisel penamat dibunyikan namun nasib menyebelahi NSE apabila pemain kebangsaan Fatin Shafika Mahd Sukri, menyempurnakan pukulan penalti terakhir.
Perlawanan itu membolehkan kedua-dua pasukan tersebut berkongsi satu mata untuk memulakan liga musim ini.
-- BERNAMA