Jonathan ungguli acara 100 meter Terbuka Malaysia
Astro Arena
Oktober 1, 2016 10:29 MYT
Oktober 1, 2016 10:29 MYT
Pelari pecut Sarawak, Jonathan Nyepa, muncul raja pecut Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2016, selepas mengungguli acara 100 meter dalam saingan di Stadium Universiti Malaya (UM), semalam.
"Saya tidak berpuas hati dengan larian dan catatan masa yang saya lakukan.
"Tetapi tak sangka akan menang pingat emas kerana sasaran saya di sini adalah cuba untuk memperbaiki catatan peribadi terbaik saya," kata Jonathan.
Ketiadaan pemegang rekod kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan, tidak menjejaskan persaingan sengit bagi acara ini dengan atlet Melaka, Badrul Hisyam Abdul Manap, menjadi tumpuan utama.
Badrul melaungkan amaran sejak peringkat kelayakan dengan merekodkan catatan terpantas termasuk 10.57 saat yang dilakukan pada saringan pertama separuh akhir.
Jonathan pula unggul dalam saringan kedua menerusi catatan 10.78 saat.
Memasuki pusingan akhir, Jonathan mempunyai permulaan baik untuk kekal konsisten meskipun menerima tentangan hebat oleh Badrul.
Namun, memasuki 50 meter terakhir perlumbaan, dia mula menjarakkan diri berbanding Badrul, yang menyaksikan dia menamatkan saingan dengan catatan 10.53 saat.
Badrul terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan 10.61 saat, sementara tempat ketiga menjadi milik atlet Negeri Sembilan, Muhammad Haikal Hanafi.
"Dalam 50 meter terakhir, saya tak boleh pergi lagi. Mungkin kerana faktor cuaca panas dan kurang minum air.
"Saya anggap rezeki saya mungkin dalam kejohanan lain. Insya-Allah dalam acara 200 meter esok, saya akan tebus balik," tekad Badrul.