Jonathan puas catat rekod peribadi 200m

Bernama
Mei 12, 2018 06:27 MYT
Jonathan Nyepa selepas berjaya menjadi juara Acara Pecut Lelaki 200 Meter Kategori Terbuka pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, 12 Mei, 2018. --fotoBERNAMA
Atlet pecut kebangsaan, Jonathan Nyepa mencipta kejutan apabila mengungguli saingan 200 meter (m) Terbuka Olahraga Malaysia 2018 yang berlangsung Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Lebih manis, catatan masa 21.10 saat (s) yang dicatatnya itu untuk merangkul pingat emas merupakan catatan peribadi terbaiknya, memadam masa 21.18s yang direkodkannya sebelum ini.
Pingat perak dimenangi atlet Terengganu, Abdul Wafiy Roslan yang merakam 21.24s sementara raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan membawa pulang gangsa selepas sekadar mencatat 21.27s.
"Saya sangat berpuas hati kerana ia adalah catatan terbaik saya meskipun pada awalnya saya tidak meletakkan apa-apa harapan kerana masih lagi letih selepas acara 100m semalam (Jumaat).
"Rekod terbaik saya sebelum ini 21.18s dan untuk membuat catatan 21.10 dalam keadaan fizikal yang tidak begitu cergas adalah sesuatu yang di luar jangkaan saya.
"Saya bermula agak lambat tetapi bila memasuki 100m terakhir saya hanya fikir mahu menamatkan saingan dengan cepat," katanya kepada pemberita selepas acara itu di sini, pada Sabtu.
Pada aksi 100m yang berlangsung pada Jumaat, atlet kelahiran Sarawak berusia 22 tahun itu berjaya meraih pingat perak dengan kepantasan 10.40s ketinggalan di belakang atlet Sri Lanka Vinoj Suranjaya De Silva yang memenangi emas dengan catatan 10.27s.
Sementara itu, bagi kategori wanita pula menyaksikan ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli memastikan pingat emas menjadi miliknya selepas merekodkan kepantasan 23.74s untuk menewaskan rakan senegara S.Komalam Shally (perak) dan Shereen Samson Vallabouy (gangsa) selepas masing-masing mencatat 24.38s dan 24.63s.
Pada masa sama, dalam acara lompat tinggi, jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa meraih emas menewaskan rakan sepasukan Lee Hup Wei.
Nauraj melakukan 2.23m manakala Hup Wei 2.20m dan tempat ketiga milik Muhammad Syazwan Ahmad, 2.10m.
Dalam pada itu, hasrat penyokong tempatan menyaksikan atlet kebangsaan mendominasi kedudukan podium dalam saingan lompat jauh lelaki tidak kesampaian apabila pingat emas acara itu dimenangi atlet Korea Selatan, Kim Sang Su selepas mencatat lompatan 7.39 meter (m).
Jaguh Paralimpik negara, Abdul Latiff Romly terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas hanya dipisahkan 0.02m sementara Luqman Hakim Ramlan yang merekodkan catatan peribadi terbaik 7.82m pada Mac lalu, hanya mencatat jarak 7.24m untuk gangsa.
-- BERNAMA
#Jonathan Nyepa #Terbuka Olahraga Malaysia 2018
;