Jonah rangkul emas di All Comers, permulaan baik musim 2024
Bernama
Mac 2, 2024 21:11 MYT
Mac 2, 2024 21:11 MYT
KUALA LUMPUR: Pemegang rekod kebangsaan lontar peluru Jonah Chang Rigan bermula baik pada awal musim ini dengan merangkul pingat emas acara itu di Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers 2024 hari ini.
Lebih menarik, atlet berusia 21 tahun mewakili Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak itu melakukan lontaran sejauh 16.97 meter (m), sekali gus mengetepikan jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli daripada MSN Para, yang menyambar pingat perak dengan catatan 16.17m.
Pada aksi final di Stadium Mini MSN itu, pingat gangsa pula menjadi milik pencabar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Muhammad Luqman Hakim Baharudin dengan balingan 13.41m.
Mengulas mengenai kejohanan hari ini, Jonah berkata beliau berasa lega kerana masih mampu menampilkan aksi memuaskan meskipun berehat sebelum musim 2024 bermula.
"Masa latihan juga tidak (baling) sejauh ini, jadi musim pertama tahun ini keputusan bagus, sangat OK.
"Saya tak kisah kalahkan Ziyad atau tidak, yang pasti keputusan ini menunjukkan kami berdua masih berada dalam prestasi yang bagus, prestasi bagus itu yang penting," katanya kepada pemberita selepas kejohanan di sini hari ini.
Jonah berkata beliau menyasarkan untuk memenangi tiga pingat di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang akan berlangsung Ogos ini, selain memasang impian menjadi Olahrawan SUKMA di temasya berprestij itu.
Katanya, beliau turut mempunyai misi untuk meleburkan rekod kebangsaan yang diciptanya sejauh 17.67m pada Kejohanan Olahraga Antarabangsa Mokpo, Korea Selatan, Oktober tahun lepas.
"Harap dapat catat rekod 18m pada Kejohanan Terbuka Filipina Mei dan All Comers Korea pada akhir Jun," katanya.
-- BERNAMA