Jojo mahu tuntut bela kekalahan abang di tangan Estupinan
Sinar Harian
Disember 22, 2024 09:45 MYT
Disember 22, 2024 09:45 MYT
ADA kisah menarik di sebalik pertembungan bintang muda muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar dengan petarung Colombia yang belum pernah tewas, Johan Estupinan di ONE Championship.
Johan yang mesra disapa Jojo akan bertemu dengan Estupinan dalam pertarungan flyweight di ONE 170 di Impact Arena, Bangkok Thailand pada 24 Januari ini.
Dalam satu wawancara bersama ONE Championship, Jojo berkata, pertarungannya menentang Estupinan bukan sekadar pertemuan antara dua bintang yang sedang meningkat naik, tetapi juga pertemuan yang diinginkannya pada peringkat peribadi.
Jojo mendedahkan bahawa Estupinan pernah mengalahkan abangnya, Elias di Kejohanan Dunia IFMA Muay Thai pada 2021 dan dia akan melakukan apa sahaja untuk membalas dendam atas kekalahan itu apabila dia bertemu dengan lawannya itu di Bangkok.
“Saya rasa ramai di antara anda tidak tahu, tetapi dia pernah bertarung dengan abang saya.
“Abang saya kalah, ia adalah pertarungan yang sangat sengit.
“Saya sedang bersedia untuk membalas dendam untuk abang saya. Ia pasti akan menjadi pertarungan yang hebat,” ujar Jojo.
Jojo dan Estupinan belum lagi menembusi kelompok lima terbaik dalam ranking flyweight muay thai, tetapi kedua-dua fenomena muda ini telah membuktikan kemampuan mereka setiap kali melangkah ke dalam gelanggang.
Estupinan mencatat rekod sempurna 4-0 dalam ONE Championship, 26-0 secara keseluruhan dengan tiga kemenangan knockout (KO).
Pada usia 20 tahun, dia baru sahaja mencatatkan kemenangan menarik dengan TKO pusingan kedua ke atas Zakaria El Jamari di ONE Fight Night 25 pada Oktober lalu.
Sementara itu, Jojo telah meraih 25 kemenangan dalam kerjaya profesionalnya dan mencatatkan rekod 6-1 di ONE Championship, dengan lima daripada kemenangan itu diperoleh melalui KO.
Bintang berusia 18 tahun ini berhasrat untuk memulakan semula satu rentetan kemenangan selepas meraih kemenangan KO yang mengujakan ke atas petinju Mexico, Josue Cruz di ONE 168: Denver, Amerika Syarikat pada September lalu, sekali gus berjaya meraih bonus kemenangan AS$50,000 (RM225,588).
Dalam pada itu, Jojo turut berkongsi impiannya menamatkan perlawanan dengan cara yang sempurna untuk membawa pulang AS$50,000 sekiranya menewaskan Estupinan dalam tempoh singkat.
“Saya mahu menamatkan aksi pertarungan ini dengan sempurna, 10 saat, bonus 50,000, pulang dan makan ais krim, itu yang saya mahu,” tambah Jojo. - Sinar Harian