Jojo bangga dipelawa Khabib Nurmagormedov berlatih di Dagestan
Intan Shanim Sulaiman
Oktober 1, 2024 18:27 MYT
Oktober 1, 2024 18:27 MYT
KUALA LUMPUR: Atlet Muay Thai negara Johan Ghazali berbangga selepas mendapat pelawaan daripada juara Ultimate Fighting Championship (UFC) Khabib Nurmagormedov untuk berlatih di Dagestan.
Johan atau lebih mesra dengan panggilan Jojo mengakui beliau begitu teruja dengan pelawaan itu
“Saya bukan sahaja berbangga tetapi saya juga bersyukur dikenali oleh Khabib,” katanya kepada Astro AWANI selepas perlawanan Mixed Martial Arts (MMA) dengan personaliti radio ERA, Pak Azad di pusat penyiaran Asia Astro Bukit Jalil, di sini pada Selasa.
Namun, Jojo berkata fokusnya kini tertumpu kepada kariernya sebagai atlet MuayThai profesional negara.
"Saya fighter Muay Thai dan Khabib pula adalah MMA, ini dua disiplin berbeza dan saya pasti akan menyahut pelawaan Khabib untuk ke Dagestan kelak," kata Jojo.
Dalam perlawanan kalah mati yang berlangsung sebanyak tiga pusingan itu, Jojo hanya mengambil masa 10 minit untuk menewaskan Pak Azad.
Apabila ditanya tentang strategi perlawanan itu Jojo berkata, beliau tidak mahu terlalu keras dengan Pak Azad.
“Perlawanan ini untuk santai-santai sahaja, Jojo tak nak terlalu kasar,” tambahnya.
Jojo menerima pelawaan untuk perlawanan itu setelah hampir setiap hari Pak Azad menghantar pesanan peribadi kepada beliau di Instagram.
Jojo yang menceburi sukan Muay Thai sejak berusia 10 tahun memenangi perlawanan ONE 168 CHAMPIONSHIP menewaskan Josue Cruz pada September lalu.
Kemenangan itu berjaya tembus kekecewaan beliau ketika tewas kepada Tran Duy Nhat Nguyen di ONE 167 sebelum ini.