Jojo bakal berentap dengan Johan 'Panda Kick' di Bangkok
Intan Shanim Sulaiman
November 28, 2024 21:46 MYT
November 28, 2024 21:46 MYT
KUALA LUMPUR: Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali, bakal menggegarkan pentas ONE Championship pada 24 Januari depan apabila dijadualkan menentang bintang Colombia yang belum pernah tewas, Johan Estupinan.
Untuk rekod, acara ONE 170 yang akan berlangsung di Impact Arena, Bangkok, Thailand itu merupakan penampilan yang kelapan buat Johan di ONE.
Johan, 18, atau lebih mesra disapa Jojo, berkata dia bertekad untuk memartabatkan nama Malaysia dalam arena sukan tempur dengan misi untuk memburu kemenangan ketujuhnya.
“Peminat sudah tentu boleh menjangkakan pertarungan yang luar biasa dan menghiburkan.
“Ia bakal menjadi pertembungan yang sangat menarik antara dua petarung muda,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Dalam pertarungan pada September lalu, Jojo mendapat kemenangan ‘knockout’ (KO) selepas mengalahkan Josue Cruz pada aksi ONE 168 di Denver, Colorado, Amerika Syarikat.
Jojo membawa pulang bonus prestasi berjumlah AS$50,000 (kira-kira RM223,199) sekali gus melebarkan rekodnya di ONE kepada 6-1.
Sebelum itu, Jojo turut mencipta detik membanggakan apabila hanya memerlukan masa 16 saat untuk mengalahkan Padestuk Fairtex pada kemunculan pertamanya di ONE Friday Fights pada Februari tahun lalu.
Pada pertarungan kali ini, cabaran yang menanti Jojo tidak mudah apabila akan berentap dengan Johan Estupinan, 22 yang dikenali sebagai 'Panda Kick' yang turut mencipta nama sebagai bintang muda sensasi dengan empat kemenangan berturut di pentas ONE, termasuk tiga kemenangan KO.
Pertarungan ini bakal ditayangkan secara lansung di Astro Sports Plus pada Jumaat, 24 Januari 2025.