Johor wujudkan hab permotoran di Ayer Hitam

Bernama
Disember 8, 2022 07:15 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Hairi Mad Shah ketika sesi pembentangan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor. - Foto BERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan mewujudkan hab permotoran di Ayer Hitam, dekat Kluang, dalam usaha untuk menghidupkan kembali kemeriahan sukan permotoran di negeri ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis diberitahu.
Mengumumkan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata hab permotoran berkenaan melibatkan pembangunan di kawasan seluas 2.8328 hektar, di atas tanah milik Kementerian Dalam Negeri di bawah pentadbiran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).
Beliau berkata kebenaran telah diberikan agar tapak tersebut digunakan untuk manfaat pencinta-pencinta sukan permotoran.
"Insya-Allah, pembinaan yang akan bermula seawal Januari 2023 nanti akan menyemarakkan lagi sukan permotoran di Johor ditambah dengan lokasi strategik Ayer Hitam yang terletak di "central of Johor".
"Berdasarkan rekod penganjuran masa lalu, Ayer Hitam telah banyak menganjurkan acara sukan permotoran sebelum ia terhenti sekitar tahun 2018 dan 2019," kata beliau ketika sesi penggulungan pada persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, semalam.
Tambahnya, pekan berkenaan juga biasa menganjurkan sukan permotoran seperti Malaysian Cub Prix, Motorcross, Pocket Bike, Mountain Bike selain drift dan go-kart, yang sememangnya mempunyai rangkaian pencinta sukan permotoran.
Mohd Hairi juga berkata pihaknya akan memastikan hab sukan yang terletak di Johor Bahru khususnya di kawasan Larkin akan ditambah baik di bawah kelolaan Perbadanan Stadium Johor (PSJ) dan Majlis Sukan Negeri Johor agar lebih terurus dan diselenggara dengan rapi serta tidak menjadi "gajah putih".
"Saya juga berharap setiap daerah di Johor ini juga akan diwujudkan fasiliti sukan atau hab sukan buat para atlet yang yang tidak dapat ke Johor Bahru selain adanya Tunku Mahkota Ismail Youth Center (TMIYC)," katanya yang juga ADUN Larkin.
-- BERNAMA
#AYER HITAM #hab permotoran #DUN Johor #Mohd Hairi Mad Shah
;