Johor tekad pertahan gelaran juara pada Sukma Sarawak

Bernama
September 1, 2023 06:15 MYT
Mohd Hairi (tengah) bersama bersama peserta dalam Majlis Perasmian dan Pelancaran Sukan Bangsa Johor Tahun 2023 di Stadium Arena MBJB, Johor Bahru pada Jumaat. - Gambar Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Johor, juara Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 tahun lepas, bertekad untuk mempertahankan gelaran pada temasya dwitahunan itu di Sarawak, tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, meskipun tanpa pertandingan kanu yang menjadi penyumbang pingat emas terbesar kontinjen pada edisi Sukma Sarawak kali ini, ia tidak menjadi halangan untuk negeri itu dalam misi bergelar juara.
Beliau berkata, tumpuan akan diberikan kepada acara sukan lain terutamanya olahraga.
"Bagi Sukma Sarawak, saya masih belum berbincang dengan MSNJ (Majlis Sukan Negeri Johor) mengenai sasaran emas dan sebagainya. Insya-Allah kita cuba sedaya mungkin untuk pertahankan kejuaraan.
"Meskipun pelapis kita ada yang sudah melepasi had umur, saya percaya MSNJ akan buat yang terbaik," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sukan Bangsa Johor 2023 di Stadium Arena Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini, pada Jumaat.
Pada edisi lepas, Johor muncul juara keseluruhan Sukma ke-20 apabila meraih 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa, sekali gus berjaya melepasi sasaran yang diletakkan iaitu 40 emas.
Sementara itu, mengenai Sukan Bangsa Johor yang memasuki tahun kedua penganjurannya, Mohd Hairi berkata seramai 3,000 peserta daripada 56 pasukan mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing mengambil bahagian dalam acara futsal, bola keranjang, sepak takraw dan bola jaring.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM1.12 juta kepada 56 DUN bagi menyediakan pasukan bagi menyertai sukan itu yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat.
- BERNAMA
#SUKMA #pingat emas #MSNJ #sepak takraw
;