Johor sasar 60 hingga 70 pingat emas Sukma Sarawak

Bernama
Februari 13, 2024 04:00 MYT
Onn Hafiz berkata, sasaran itu perlu dicapai bagi memastikan Johor mempertahankan dan mengulangi kejuaraan yang dilakar ketika Sukma 2022 di Kuala Lumpur. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Johor meletakkan sasaran antara 60 hingga 70 pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sasaran itu perlu dicapai bagi memastikan Johor mempertahankan dan mengulangi kejuaraan yang dilakar ketika Sukma 2022 di Kuala Lumpur.
"(Pada awalnya) sasaran kita adalah 40 hingga 50 pingat emas, namun apabila saya fikir dan melihat semangat yang ditonjolkan anak muda (atlet kita), saya yakin kita boleh meraih antara 60 hingga 70 pingat emas.
"Atlet (terlibat) diharap terus bersemangat dan pastikan ia menjadi kejayaan," katanya ketika berucap pada Majlis Countdown Sukma Johor 'Sukma 2024: The Next Chapter' di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin, di sini, pada Selasa.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah.
Pada majlis itu, Onn Hafiz turut mengumumkan insentif sebanyak RM10,000 bagi atlet acara perseorangan dan berpasukan RM20,000 yang berjaya meraih pingat emas pada temasya edisi ke-21 itu.
"Jurulatih yang berjaya membantu atlet memperoleh pingat emas itu pula akan diberikan sebanyak RM5,000," katanya.
Sementara itu, Mohd Hairi pada sidang media selepas majlis tersebut berkata, insentif bagi pingat perak dan gangsa pula akan dimaklumkan kemudian oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).
"Insentif pingat emas diumum dahulu, (kerana) ia sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat atlet kita dan mahu mereka fokus dalam membantu mencapai kemenangan buat Johor," katanya.
Pada Sukma ke-20, Johor muncul juara keseluruhan apabila meraih 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa, sekali gus berjaya melepasi sasaran yang diletakkan iaitu 40 emas. - BERNAMA
#Johor #SUKMA #sasaran pingat #Sukma Sarawak #onn hafiz ghazi
;