Johor cadang sewakan venue SUKMA 2020 untuk pelbagai aktiviti

Bernama
November 20, 2021 18:16 MYT
Onn Hafiz berkata, keutamaan adalah memastikan venue tersebut sentiasa diselenggara dengan baik selain tidak menjadikannya projek gajah putih. - Bernama
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor bercadang menyewakan kesemua venue termasuk gelanggang baharu bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 untuk kegunaan pelbagai aktiviti kesukanan sebelum temasya itu diadakan di negeri ini pada 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keutamaan adalah memastikan venue tersebut sentiasa diselenggara dengan baik selain tidak menjadikannya projek gajah putih.
"Misalnya, velodrom untuk sukan berbasikal, kita telah mendapat permohonan daripada pasukan negara selain negara jiran untuk menggunakan fasiliti berkenaan.
"Jadi, ini adalah langkah yang kita gunakan untuk memastikan kesemua venue terus digunakan dan akan diselia Perbadanan Stadium Negeri Johor (PSNJ), Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Festival Orang Muda Johor 2021 (OMJ Fest 21) di sini hari ini.
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan OMJ Fest 21 yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.
Onn Hafiz berkata tawaran sewaan venue Sukma itu turut akan dibuka kepada orang awam dengan kadar bayaran bersesuaian ditetapkan oleh agensi terlibat dengan penyelanggaraan fasiliti tersebut.
Mengulas mengenai penangguhan penganjuran SUKMA Johor ke 2024, beliau mengakui pihaknya sedikit kecewa namun memahami keputusan dibuat itu adalah satu langkah munasabah.
Pada 28 Okt lepas, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan berkata Jawatankuasa tertinggi Sukma bersetuju agar penganjuran temasya sukan kebangsaan itu di Johor pada tahun hadapan, ditangguhkan ke 2024.
Ahmad Faizal dipetik sebagai berkata jawatankuasa sama turut bersetuju supaya Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan Sukma dan Para Sukma 2022 di Kuala Lumpur.
Sukma Johor 2020, yang sepatutnya berlangsung pada 6 hingga 14 Mac 2021, dan Para Sukma pada 5 hingga 10 April dibatalkan sekali lagi, berikutan peningkatan kes COVID-19 tahun ini.
Kerajaan negeri sebelum ini memberi jaminan bahawa kesemua 39 venue termasuk 11 gelanggang baharu untuk Sukma 2020 tidak menjadi projek gajah putih, susulan pembatalan temasya sukan itu akibat penularan COVID-19.
-- BERNAMA
#venue sukma 2020 #onn hafiz ghani #fasiliti sukan #aktiviti sukan
;