Johor anjur empat kejohanan Muay Thai tahun ini

Bernama
April 7, 2017 21:21 MYT
Kejohanan tahunan itu melibatkan kejohanan peringkat antarabangsa, terbuka, jemputan dan tertutup. - Gambar fail
Empat kejohanan Muay Thai akan diadakan di Johor pada tahun ini, kata Naib Presiden Persatuan Muay Thai negeri, Edee Noor Iskandar.
Katanya kejohanan tahunan itu melibatkan kejohanan peringkat antarabangsa, terbuka, jemputan dan tertutup.
Beliau berkata inisiatif itu dilakukan berikutan sambutan yang menggalakkan terhadap sukan berkenaan dalam kalangan penduduk tempatan.
"Kali pertama kita menganjurkan kejohanan Muay Thai adalah pada 2013, yang menyaksikan kehadiran 400 penonton. Sejak itu, jumlah penonton kian bertambah dan penerimaan masyarakat terhadap sukan ini juga memberangsangkan," katanya.
Edee memberitahu demikian pada sidang media Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Johor (JIMC) kali kedua di sini, hari ini.
Edee berkata kejohanan itu akan dimulakan dengan peringkat antarabangsa, disusuli kejohanan merebut tali pinggang Menteri Besar bagi kategori terbuka, diikuti jemputan dan tertutup.
Mengenai JIMC yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Arena Tertutup Educity di sini, esok, Edee berkata 3,000 penonton dijangka hadir bagi menyaksikan kejohanan berkenaan.
Seramai 18 peserta dari Malaysia, Thailand, Sepanyol, Argentina dan Perancis mengesahkan penyertaan mereka pada saingan tersebut.
Harga tiket adalah daripada RM30 sehingga RM100.
Tumpuan utama esok, pastinya pertemuan antara atlet Muay Thai negara, Ali Yaakub menentang peserta dari Thailand, Joey Mafai bagi merebut tali pinggang JIMC untuk kategori Featherweight.
-- BERNAMA
#Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Johor #Muay Thai
;