Johnathan menang perak di Denmark
Bernama
Februari 17, 2024 17:27 MYT
Februari 17, 2024 17:27 MYT
KUALA LUMPUR: Atlet menembak negara Johnathan Wong, menamatkan siri latihannya di Denmark dengan memenangi pingat perak acara 10 meter (m) pistol angin lelaki pada Kejohanan Terbuka Denmark 2024, semalam.
Penembak berusia 31 tahun itu mengutip 234.7 mata, untuk menamatkan saingan di belakang juara dari India Arjun Singh, yang mencatatkan 239 mata pada pertandingan berlangsung di Vildbjerg Sports-og Kulturcenter.
Penembak tuan rumah Hansen Jonas Kofoed, menang gangsa (213.1 mata).
Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) Hayati Shamsuri berkata mereka gembira atas kejayaan Johnathan itu, selepas beliau menduduki tempat kedua pada pusingan kelayakan dengan 576 mata.
"Johnathan telah berada di Denmark sejak 14 Jan, bagi menjalani latihan yang merupakan sebahagian daripada persiapannya ke Sukan Olimpik Paris 2024.
"Ini merupakan keputusan yang baik buat Johnathan, kita mahu membantu beliau layak ke final dengan lebih banyak, rasai pengalaman dan seterusnya mampu kurangkan perasaan kekok sekiranya layak ke pentas final dalam kejohanan besar selepas ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Hayati berkata Johnathan yang dijangka tiba dari Denmark Selasa ini (20 Feb) akan meneruskan latihan di sini sebelum bertanding pada dua siri Piala Dunia di Baku, Azerbaijan (1-12 Mei) dan diikuti Munich, Jerman (31 Mei- 7 Jun).
-- BERNAMA