John Terry ucap selamat tinggal kepada The Blues
Astro Arena
April 18, 2017 11:00 MYT
April 18, 2017 11:00 MYT
JOHN TERRY akan meninggalkan Chelsea pada akhir musim ini, sekali gus mengakhiri kerjaya selama 22 tahun di Stamford Bridge.
Kapten Blues itu hanya membuat 10 penampilan dalam semua pertandingan pada musim 2016-17 dan tidak diturunkan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak merakamkan kemenangan 5-0 ke atas Everton pada 5 November lalu.
Terry berkata dia belum membuat keputusan mengenai langkah selanjutnya tetapi berasakan "ia adalah masa yang sesuai" untuknya menamatkan kerjaya di Chelsea yang sarat dengan kejayaan.
"Terlalu banyak untuk diperkatakan dan begitu ramai pihak untuk diucapkan terima kasih di kelab bola sepak yang hebat ini," kata Terry dalam kenyataan yang dikeluarkannya.
"Daripada jurulatih, rakan sepasukan dan kakitangan sehingga peminat yang telah menghulurkan saya begitu banyak sokongan selama bertahun-tahun, saya tidak dapat membalas jasa anda semua. Saya berpeluang untuk bercakap lebih lanjut tentang perkara ini pada masa akan datang.
"Saya akan membuat keputusan mengenai masa depan saya dalam masa terdekat tetapi buat masa ini, saya komited untuk membantu Chelsea mencapai kejayaan musim ini.
"Kelab ini dan saya sentiasa mempunyai hubungan yang hebat yang akan berterusan. Kami telah mengadakan perbincangan yang benar-benar positif tetapi dengan segala aspek telah diambil kira, hati saya memutuskan ia adalah masa yang tepat untuk saya pergi.
"Saya sentiasa sedar bahawa saya akan pergi dalam masa yang tepat dan dengan cara yang betul.
"Masih banyak lagi yang boleh saya tawarkan di atas padang tetapi saya memahami bahawa peluang di Chelsea adalah terhad untuk saya.
"Saya tidak sabar untuk meneruskan aksi dan akan mencari cabaran baru. Sudah tentu saya akan sentiasa merupakan The Blues dan saya terdesak untuk menamatkan musim terakhir saya sebagai pemain Chelsea dengan kejuaraan.
"Akhir sekali, kata-kata tidak dapat menggambarkan cinta saya terhadap kelab ini dan peminat Chelsea kami yang luar biasa.
"Saya ingin berterima kasih kepada setiap seorang daripada anda di atas sokongan luar biasa yang telah ditunjukkan selama ini.
"Anda semua amat bermakna dalam hidup saya dan setiap trofi yang telah kami menangi semasa saya di kelab, kami menang bersama-sama. Saya tidak akan melupakan perjalanan luar biasa yang telah kita tempuhi."
Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia, menyatakan dengan jelas bahawa mereka berharap Terry akan kembali dalam kapasiti baru pada masa depan.
"Semua orang di Chelsea ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada John di atas semua yang telah dilakukannya untuk kelab bola sepak ini.
"Dia seorang pemain yang cemerlang, kapten yang memberi inspirasi dan sentiasa menunjukkan komitmen yang luar biasa," katanya.
"Pada masa itu, Chelsea telah berkembang menjadi salah sebuah kelab terbaik di dunia dan adalah wajar sumbangan John diiktiraf. Dia akan sentiasa dipandang tinggi oleh semua orang di Stamford Bridge dan kami menantikan kehadirannya pada masa depan."
Terry telah memenangi 14 trofi utama sepanjang kerjayanya bersama Chelsea, termasuk lima trofi Piala FA, empat gelaran EPL dan Liga Juara-Juara pada 2012.
Dia telah membuat 713 penampilan untuk kelab itu sejak membuat penampilan pertama pada 1998, 578 aksi lagi selaku kapten dan merekodkan 66 gol.