John Terry hampir tandatangani kontrak baharu bersama Chelsea, kata Mourinho

Astro Awani
Februari 20, 2015 23:51 MYT
Pemain Chelsea John Terry menendang bola sementara diperhatikan oleh pemain PSG Zlatan Ibrahimovic semasa satu perlawanan Liga Juara-juara Eropah di Paris, Perancis. - Foto AP/Michel Euler
Kapten Chelsea, John Terry berhak untuk beraksi untuk tahun selanjutnya dalam Liga Perdana dan kini hampir menandatangani kontrak baharu, kata pengurus Jose Mourinho hari ini.
Jurulatih itu berkata, Terry, 34, yang telah menyertai Chelsea sejak 20 tahun lalu sewaktu masih bersekolah, telah menerima peraturan kelab iaitu mereka yang berusia lebih 30 tahun hanya akan ditawarkan kontrak tahunan.
“Saya rasa semua orang mahu kekal terutamanya Terry yang sudah sekian lama berada di sini. Dia telah menerima polisi tahunan kami dengan senyuman dan telah menyahut cabaran tersebut,” ujar Mourinho selepas sesi latihan sebagai persediaan menentang Burnley.
Tambah Mourionho, tahun lalu dia telah membuktikan dirinya berjaya menggalas cabaran dan tahun ini dia berhak untuk meyambung kontrak.
Terry yang juga bekas kapten pasukan England telah menyertai setiap perlawanan liga pada musim ini.
Mourinho yang memiliki skuad penuh walau bagaimanapun tidak mengulas tentang kontrak dirinya sendiri.
“Saya berbeza. Saya mempunyai kontrak dua tahun lagi. Saya mahu kekal. Saya rasa kelab ini gembira tapi saya tidak perlukan apa-apa kontrak sekarang ini. Saya kekal selagi Abramovich (pemilik Chelsea) mahukan saya,” ujar Mourinho.
#bola sepak #Chelsea #john terry #kontrak #Liga Perdana #mourinho