John Terry bakal latih Al-Shabab

Sinar Harian
September 7, 2023 12:41 MYT
Terry adalah pemain paling berjaya dalam sejarah Chelsea dengan lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan lima Piala FA dan bermain 717 perlawanan untuk The Blues. - Fail Stadium Astro
JOHN Terry dilaporkan bakal menjadi pengendali kelab Arab Saudi, Al-Shabab dan perjanjian secara lisan antara mereka sudah dipersetujui.
Dia bakal menyertai beberapa legenda Liga Perdana Inggeris seperti Steven Gerrard yang mengemudi Al-Ettifaq dan bekas penyerang Liverpool, Robbie Fowler yang menjadi pengendali Al-Qadsiah.
Al-Shabab tidak dianggap sebagai salah sebuah pasukan utama dalam Liga Saudi tetapi mereka mempunyai cita-cita besar.
Pengurusan kelab itu berpendapat Terry memiliki kelayakan kejurulatihan dan reputasi untuk menarik lebih banyak bintang besar ke kelab tersebut.
Dia adalah pemain paling berjaya dalam sejarah Chelsea dengan lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan lima Piala FA dan bermain 717 perlawanan untuk The Blues.
Selepas bersara, dia telah menyertai bidang kejurulatihan dan pengurusan tetapi setakat ini masih tidak dapat menjawat jawatan senior.
Dia pernah menjadi penolong jurulatih di bawah Dean Smith di Leicester dan Aston Villa dan kini bertindak sebagai perunding di akademi Chelsea.
Chelsea juga dilaporkan sedia melepaskan Terry sebagai tanda hormat kepada perkhidmatannya selaku watak penting selama hampir dua dekad menjadi pemain di kelab tersebut.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#john terry #ketua jurulatih #al-Shabab #liga Arab Saudi
;