Joe Ee mahu fokus pada pelajaran, janji tampilkan aksi terbaik di Sukan Asia

Bernama
Ogos 9, 2022 04:46 MYT
Joe Ee yang mencipta kejutan meraih dua pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 selamat tiba di KLIA bersama skuad gimrama negara semalam. --fotoBERNAMA
SEPANG: Selepas mencipta sensasi dan melakar sejarah sebagai gimnas Malaysia pertama membawa pulang dua emas individu di Sukan Komanwel Birmingham 2022, gimnas muda negara Ng Joe Ee mahu kembali menumpukan perhatian terhadap pelajarannya.
Gimnas berusia 16 tahun itu bagaimanapun berkata beliau tetap akan bekerja keras dan berlatih bersungguh-sungguh bersama jurulatih Rusia, Yulia Ivanova dan Udia Legotina bagi memastikan prestasinya lebih baik pada temasya Sukan Asia pada tahun hadapan.
Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Titiwangsa itu masih belum mengetahui sekiranya beliau akan mewakili negara bagi menyertai Kejohanan Gimnastik Antarabangsa di Sofia, Bulgaria bermula September ini.
"Sudah semestinya lepas ini saya mahu tumpu kepada pelajaran sebab tahun hadapan saya akan ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jadi perlu beri tumpuan dalam pelajaran sebab sudah setengah tahun fokus pada sukan.
"Sangat gembira menang dua pingat emas sebab ini pengamalan pertama ke Sukan Komanwel dan saya mahu berterima kasih kepada kedua-dua jurulatih (Yulia dan Udia), Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN), keluarga dan rakan-rakan atas sokongan tanpa henti," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.
Pada Sabtu, Joe Ee menyumbangkan emas kelima melalui disiplin bola dan selang beberapa jam kemudian menghadiahkan pingat emas keenam menerusi disiplin riben sekali gus menyaksikan Malaysia berjaya mencapai sasaran enam emas pada edisi Sukan Komanwel kali ini.
Dalam pada itu, gimnas negara Izzah Amzan berharap dapat memperbaiki ranking dunia sekiranya beliau dapat mewakili negara pada Kejohanan Gimnastik Antarabangsa di Sofia, Bulgaria yang akan berlangsung, bulan hadapan.
BACA: Sukan Komanwel: PM ucap tahniah atas kejayaan Joe Ee sumbang dua emas
BACA: Sukan Komanwel Birmingham: Izzah Amzan kecewa mata dipintas saat akhir
BACA: Sukan Komanwel: Suasana meriah sambut kepulangan skuad gimrama negara
Beliau yang berkemungkinan membuat penampilan ketiganya di kejohanan antarabangsa berkenaan berjaya menduduki ranking ke-67 pada penampilan sulungnya di Sofia, Bulgaria pada 2018 dan ranking ke-57 pada penampilan kedua di Baku, Azerbaijan tahun berikutnya.
Terdahulu, Izzah berjaya memenangi pingat gangsa menerusi acara disiplin belantan di Arena Birmingham.
Sementara itu, Delegasi Teknikal Sukan Gimrama MGF Petrina Low Lai Hun menzahirkan kegembiraannya atas kejayaan skuad gimrama negara dan berharap pasukannya mampu meneruskan kecemerlangan pada masa akan datang.
"Saya yakin jurulatih Yulia juga gembira sebab mereka (atlet gimnas) berlatih bersungguh-sungguh kerana pada hari pertama dan kedua menyaksikan pertandingan yang sukar, jadi akhirnya pada hari ketiga mereka menunjukkan kesungguhan dalam beraksi dan membawa pulang pingat," katanya.
-- BERNAMA
#Ng Joe Ee #Sukan Komanwel Birmingham 2022 #gimnas negara #Izzah Amzan
;