Jodoh Cheng Hoe bersama kelab Thailand berakhir

Sinar Harian
Jun 6, 2024 06:30 MYT
Cheng Hoe mengemudi 11 perlawanan Thai League 1 menyaksikan dia membawa Police Tero meraih dua kemenangan, tiga seri dan enam kekalahan menyebabkan pasukan itu tersingkir daripada saingan liga utama tersebut. - Foto Sinar Harian
KELAB Thailand, Police Tero dilaporkan tidak menyambung kontrak Tan Cheng Hoe untuk terus mengemudi pasukan itu dalam saingan Thai League 2 musim depan.
Media Thailand melaporkan bahawa kelab yang berpangkalan di Bangkok itu mahu mencari pengendali tempatan sekali gus menyaksikan jodoh Cheng Hoe bersama pasukan itu hanya bertahan kira-kira separuh musim sahaja.
Cheng Hoe yang juga bekas pengendali Selangor FC itu mengemudi 11 perlawanan Thai League 1 menyaksikan dia membawa pasukan meraih dua kemenangan, tiga seri dan enam kekalahan menyebabkan pasukan itu tersingkir daripada saingan liga utama tersebut.
Tidak dipastikan ke mana arah tuju Cheng Hoe selepas ini sama ada kembali ke saingan Liga Malaysia atau terus berkelana di luar negara.
Beliau juga turut dikaitkan untuk dilantik sebagai pengarah teknikal Johor Darul Ta'zim (JDT), namun tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Untuk rekod, pengendali berusia 56 tahun itu sebelum ini membuat kejutan meninggalkan Selangor FC pada Februari lalu beberapa bulan sebelum saingan Liga Super bermula. - Sinar Harian
#Police Tero #Tan Cheng Hoe #Thai League 1 #kontrak
;