Joao Felix sah pemain Atletico Madrid

Astro Arena
Julai 4, 2019 09:55 MYT
Joao Felix sah milik Atletico Madrid. - Foto Stadium Astro.
ATLETICO MADRID mengatasi pasukan-pasukan utama Eropah untuk menandatangani pemain muda berpotensi besar daripada Benfica, Joao Felix, dengan bayaran €126 juta (RM588.6 juta).
Kelab LaLiga itu menyerahkan tawaran mereka minggu lalu, hanya tiga minggu selepas pemain itu melakukan penampilan pertamanya dengan skuad kebangsaan Portugal.
Perpindahan itu selesai dalam tempoh enam hari dengan penyerang muda itu mengikat kontrak untuk tujuh musim di Wanda Metropolitano.
Joao Felix menjaringkan 20 gol dalam semua kejohanan sepanjang musim 2018-19, musim pertamanya sebagai pemain senior Benfica dan pada April lalu, dia menjadi pemain termuda menjaringkan hatrik dalam Liga Europa.
Aksi menakjubkannya dalam saingan domestik dan peringkat benua menyaksikan dia mendapat tumpuan daripada Juventus, Manchester City dan Manchester United, namun Atletico jelas pasukan paling pantas untuk memenangi perlumbaan mendapatkan pemain itu.
Joao Felix mempunyai klausa pelepasan bernilai €120 juta (RM560.6 juta), namun Benfica akan menerima jumlah yang lebih besar kerana pembayaran itu akan dilakukan secara ansuran oleh Atletico.
Ketibaan pemain berusia 19 tahun itu ke Wanda Metropolitano mungkin membuka jalan keluar buat Antoine Griezmann.
Penyerang Perancis itu telah mendedahkan niatnya untuk meninggalkan kelab itu ketika pengurus pasukan, Diego Simeone, merancang penstrukturan semula dengan Diego Godin sah meninggalkan pasukan itu manakala Filipe Luis akan menyusul.
#Atletico Madrid #Benfica #Joao Felix #LaLiga #transfer
;