JKR siasat insiden kerangka bumbung Velodrom Nasional runtuh - Khairy

Azyyati Ahmad
Jun 20, 2016 13:45 MYT
KHAIRY: Insiden tersebut menyebabkan berlaku penangguhan dalam kerja-kerja pembinaan tetapi tidak akan menjejaskan persiapan menjelang Sukan SEA 2017.
Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan siasatan terhadap kes sebahagian kerangka bumbung projek Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan yang runtuh pada Sabtu lalu.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, insiden tersebut menyebabkan berlaku penangguhan dalam kerja-kerja pembinaan tetapi tidak akan menjejaskan persiapan menjelang Sukan SEA 2017.
“Sebahagian daripada sebahagian kerangka bumbung telah jatuh pada 18 Jun lalu dan kini sedang dalam siasatan unit forensik JKR. Ia adalah projek kendalian JKR, walaupun tuan punya velodrom adalah KBS,” ujar beliau.
Insiden tersebut melibatkan tujuh buah kerangka yang jatuh daripada kedudukannya.
"Saya difahamkan akan ada sedikit penangguhan (dalam kerja pembinaan) namun ia tidak akan menjejaskan (persiapan) Sukan SEA,” jelas beliau yang menambah tempoh penangguhan itu akan ditentukan oleh unit forensik JKR.
Khairy ditemui dalam majlis menyampaikan Skim Hadian Kemenangan Sukan (Shakam) dan menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.
Pada Sabtu, projek Velodrom Nasional yang masih dalam pembinaan dikejutkan dengan insiden struktur bumbung yang runtuh.
Bagaimanapun, dalam kejadian itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.
Projek pembinaan Velodrom Nasional bermula sejak akhir tahun lalu dan dijadualkan siap Julai ini dan pernah tertangguh akibat isu pengambilan tanah.
Projek bernilai RM80 juta itu dijangka siap sepenuhnya menjelang Sukan SEA 2017 yang dijadualkan pada Ogos.
#bumbung velodrom runtuh #nilai #projek pembinaan #Velodrom Nasional