Jing Hong lebur rekod 20 tahun lumba jalan kaki SUKMA

Bernama
Ogos 19, 2024 11:30 MYT
Jing Hong yang membuat penampilan pertamanya mencipta rekod baharu temasya selepas mencatatkan satu jam 34 minit 38.20 saat (s). - Foto BERNAMA
KUCHING: Atlet Wilayah Persekutuan Khor Jing Hong mencipta sensasi apabila meraih pingat emas acara 20,000 meter (m) lumba jalan kaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Sarawak hari ini.
Lebih mengejutkan, Jing Hong yang membuat penampilan pertamanya mencipta rekod baharu temasya selepas mencatatkan satu jam 34 minit 38.20 saat (s) sekali gus memadam rekod lama berusia 20 tahun milik Thiyagu Manoharan dari Negeri Sembilan yang mencatat 1'34:56.10s pada 2004.
"Saya lega kerana semalam saya sangat tertekan sebab hari pertama, acara pertama dan saya pula sasarkan emas dan pecah rekod. Jadi semua mata tengok saya.
"Tapi semalam saya ada bercakap dengan jurulatih dan itu melegakan saya untuk turun beraksi dengan tenang," katanya ketika ditemui di sini.
Pingat perak menjadi milik wakil Pulau Pinang Sriven Tan selepas mencatat 1'38:25.43s manakala C. Teban Raj dari Selangor yang merakam 1'48:07.56s membawa pulang gangsa.
Saingan olahraga yang menawarkan keseluruhan 47 pingat emas berlangsung selama lima hari bermula hari ini.
-- BERNAMA
#Sukma 2024 #Khor Jing Hong #lumba jalan kaki #rekod baharu
;