Jin Wei sukar tandingi Se Young

Bernama
Ogos 22, 2023 05:15 MYT
Goh Jin Wei ketika beraksi menentang An Se Young pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark, pada Selasa. - Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei terpaksa akur dengan jurang standard dengan kelompok utama dunia apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pemain nombor satu dunia, An Se Young pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark, pada Selasa.
Pemain wanita dari Korea Selatan itu hanya mengambil masa 35 minit untuk menewaskan Jin Wei, pemain nombor 35 dunia dengan keputusan 12-21, 12-21 pada aksi pusingan kedua di Royal Arena.
Se Young, pemenang pingat gangsa pada edisi tahun lalu, akan menentang pemenang antara pemain Amerika Syarikat Beiwan Zhang dan wakil Scotland, Kirsty Gilmour pada aksi pusingan ketiga hari ini.
Sementara itu, empat gandingan negara ,mara ke pusingan kedua hari ini selepas melepasi halangan pertama.
Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing melangkah ke pusingan kedua selepas dengan mudah mengatasi pasangan Maldives, Hussein Zayan Shaheed-Fathimath Nabaa 21-4, 21-6 dalam masa 21 minit.
Kian Meng-Pei Jing, yang berada di ranking ke-21 dunia, akan bertemu pilihan ke-12 kejohanan dari Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran.
Dalam acara beregu lelaki, naib juara Masters Malaysia 2023, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mara ke pusingan kedua pada penampilan sulung di kejohanan dunia dengan menewaskan wakil Perancis, Lucas Corve-Ronan Labar 21-17, 21-18.
Gandingan itu akan menentang Choi Sol Gyu-Kim Hon Ho dari Korea Selatan pada pusingan kedua hari ini.
Sementara itu, beregu wanita negara, Anna Cheong Ching Yik-Teoh Mei Xing melakukan kejutan besar apabila menyingkirkan beregu nombor 36 dunia, Annie Xu-Kerry Xu dari Amerika Syarikat, dengan keputusan 21-14, 21-18
Beregu muda negara menduduki ranking 251 dunia itu akan menentang pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai pada pusingan kedua.
Beregu profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut melangkah ke pusingan kedua selepas mengalahkan pasangan adik-beradik dari Sweden, Moa Sjoo-Tilda Sjoo 21-14, 21-12.
Laluan sukar menanti beregu negara nombor 32 dunia itu apabila berdepan dengan pilihan kelima kejohanan ,Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun, hari ini.
-- BERNAMA
#Kejohanan Badminton Dunia #goh jin wei #Man Wei Chong-Tee Kai Wun #Anna Cheong Ching Yik-Teoh Mei Xing
;