Jin Wei perlukan sokongan

Bernama
Mei 24, 2023 22:27 MYT
Reaksi atlet perseorangan negara Goh Jin Wei ketika menentang pemain dari Jerman Yvonne Li pada pusingan pertama kejohanan Perodua Malaysia Master 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas juara remaja dunia dua kali Goh Jin Wei gagal mengawal emosi kekecewaannya selepas ditunjukkan jalan keluar pada peringkat awal Masters Malaysia 2023, hari ini.
Jin Wei, pemain nombor ke-29 dunia itu tewas kepada pemain dari Jerman, Yvonne 17-21, 21-17, 15-21, dalam masa 61 minit pada pusingan pembukaan di Arena Axiata di sini.
Sebaik melangkah keluar dari gelanggang, Jin Wei terus terduduk di lantai dan menangis di dinding berhampiran zon pelbagai kira-kira 10 minit, sebelum pemain persendirian perseorangan wanita itu dipujuk jurulatihnya Nova Armada.
Ketika ditemui media, pemain berusia 23 tahun itu mendedahkan yang beliau berasa amat kecewa kerana gagal pulih dari kepenatann selepas membantu Malaysia memenangi pingat gangsa di Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China, minggu lepas.
"Saya kecewa dengan diri saya, kerana tidak dapat menjaga tubuh saya dengan baik sejak minggu lepas. Walaupun ada waktu rehat untuk tempoh beberapa hari, tetapi saya perlu pastikan yang saya benar-benar pulih.
"Bagaimanapun, saya tidak dapat lakukannya dengan baik, kerana saya tidak mempunyai sistem sokongan, dan hanya pergi ke sesi fisioterapi persendirian di luar," katanya.
Oleh sebab itu, Jin Wei berkata perkhidmatan sokongan yang kuar tentunya akan dapat membantu beliau untuk pulih dan mengatasi pemain terbaik dan lebih penting lagi untuk mencapai impiannya menjadi antara atlet tersenarai dalam program Road to Gold (RTG).
Progam RTG merupakan program untuk Malaysia memburu pingat emas Olimpik yang pertama.
Pemain berasal dari Pulau Pinang itu berkata sistem sokongan penuh yang beliau terima sewaktu mewakili Malaysia di Piala Sudirman, telah membantunya bermain dengan lebih baik termasuk melakukan kejutan menewaskan bekas juara dunia dari India, P.V. Sindhu 14-21, 21-10, 22-20.
Jin Wei turut memuji Yvonne yang telah mengajaknya bermain sehingga ke hadnya dalam perlawanan selama 61 minit.
Beliau juga tidak pasti sama ada akan menyertai Terbuka Thailand minggu hadapan, kerana beliau terlalu penat pada ketika ini.
-- BERNAMA
#goh jin wei #Masters Malaysia 2023 #bekas juara remaja dunia #badminton
;