'Jika tewas, tewas bermaruah' - Morten Frost
Astro Arena
Februari 15, 2016 10:30 MYT
Februari 15, 2016 10:30 MYT
PENGARAH Teknikal Badminton Negara, Morten Frost, tetap mahu skuad kelayakan Piala Thomas negara gentar dengan kegagalan meskipun pada dasarnya Malaysia memiliki peluang cerah ke pusingan akhir di Kunshan, China pada Mei nanti.
Dalam masa yang sama, skuad wanita pula berdepan cabaran tersendiri untuk layak ke pusingan akhir Piala Uber.
Ranking dunia skuad lelaki negara sudah memadai menjamin laluan Malaysia ke pusingan akhir Piala
Thomas sekalipun gagal menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik.
Walaupun begitu, Frost enggan barisan muda negara selesa dengan situasi mereka menjelang dua
perlawanan kumpulan yang dianggap mudah menentang Sri Lanka dan Nepal sebelum ujian sebenar berdepan Jepun.
"Apa yang saya lihat, moral dalam pasukan Malaysia amat tinggi dan mereka berlatih dengan baik setakat ini. Saya berpuas hati dengan persiapan setakat ini," kata Frost.
Tidak lagi menjadi rahsia, skuad wanita negara tempang susulan kehilangan dua kudrat senior, perseorangan Tee Jing Yi dan beregu Soong Fie Cho yang mengalami kecederaan di Terbuka Thailand baru-baru ini.
Skuad wanita negara bagaimanapun disifatkan sudah bersedia berjuang sehingga keringat terakhir untuk memastikan mereka tidak berputih mata dengan Hong Kong dan China dalam aksi kumpulan.
"Sekiranya kami gagal, kami akan gagal tanpa menghilangkan semangat kami. Sekurang-kurangnya kami beri tentangan hebat kepada pihak lawan, jangan menyerah dan beraksi untuk kekalkan maruah kami," tambahnya.
Sri Lanka jadi pasukan pertama bertemu skuad lelaki sementara Hong Kong bakal menguji pasukan wanita. kedua-dua perlawanan dijadual berlangsung pada 16 Februari.