'Jika Mayweather nak lawan Khabib, ia haruslah di UFC' - Dana White
Astro Awani
Oktober 31, 2018 14:28 MYT
Oktober 31, 2018 14:28 MYT
PRESIDEN UFC Dana White berkata, jika pertembungan antara Khabib Numagomedov dan Floyd Mayweather betul-betul berlaku, ia harus diadakan di bawah peraturan MMA.
Katanya, jika Mayweather benar-benar hendak melawan Khabib, mereka mesti bertarung di gelanggang ‘Octagon’, di UFC.
“Dengar sini, jika Mayweather nak lawan, datang sini dan lawan. Kamu bertarung di UFC.
“Kita tak mahu lagi bertinju… kita dah buat dah sebelum ini. Dah selesai. Kamu nak lawan, lawan betul-betul,” katanya kepada portal berita TMZ.
White sebelum ini meminta semua pihak supaya jangan 'melayan' desas desus mengenai pertembungan antara juara lightweight UFC dari Rusia dengan jaguh tinju Amerika Syarikat itu.
Memetik laporan ESPN, katanya sehingga kini Mayweather masih belum munghubungi pihak UFC walaupun kedua-duanya dilaporkan sudah bersetuju untuk berlawan.
Meskipun tidak jelas sama ada mereka mahukan pertandingan tinju ataupun MMA, Mayweather memaklumkan jika Khabib mahu berlawan, ia haruslah pertarungan tinju dan perlu diadakan di Las Vegas.
"Dia yang panggil saya. Jadi, dialah yang kena datang ke dunia saya," tegas Mayweather.
Bagai buku bertemu ruas, Khabib cemerlang dengan rekod tanpa kalah dalam 27 pertarungan MMA, manakala Mayweather pula peroleh rekod kemenangan 50-0.