Jika bukan kerana saya, Messi mungkin akan bersama Real - Gaggioli
Astro Arena
Jun 24, 2017 17:57 MYT
Jun 24, 2017 17:57 MYT
JIKA Horacio Gaggioli tidak berhijrah ke Barcelona, Lionel Messi mungkin menyertai musuh tradisi The Catalans dan juara LaLiga, Real Madrid.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Barca, Messi, tiba di Nou Camp sejak dia berusia 13 tahun dari Rosario, hasil bantuan ejen pemain, Gaggioli.
Gaggioli merupakan individu yang membantu Messi tiba di Sepanyol untuk menyertai Barca dan bekas pemain Newell's Old Boys itu telah memenangi lima Ballon d'Or, lapan gelaran LaLiga, empat Liga Juara-Juara dan beberapa lagi trofi bersama kelab itu.
Bagaimanapun, jika bukan kerana Gaggioli, Messi kini mungkin menyarung jersi Real.
"Kerana keadaan hidup yang kurang baik, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke Barcelona dan saya membawa Messi ke Barca untuk menjalani sesi ujian. Tetapi saya hampir membuat keputusan untuk tinggal di Madrid," katanya.
"Jika ia berlaku, saya mungkin akan membawanya untuk menjalani ujian di Real.
"Ketika pertama kali saya melihatnya di lapangan terbang, saya menyangkakan dia bukan seorang pemain bola sepak kerana dia terlalu kecil dan kurus.
"Saya tidak memiliki tanggapan yang baik terhadapnya. Tetapi apabila menyaksikan apa yang dilakukannya ketika sesi latihan, saya menyedari dia merupakan seorang pemain yang berkualiti."