'Jika ada 10 minit lagi, mungkin JDT akan tambah gol' - Bidoglio

Sinar Harian
Ogos 25, 2024 08:20 MYT
Hector Bidoglio percaya pasukannya mungkin boleh menjaringkan lebih banyak gol ketika membelasah Selangor FC 6-1 dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. - Gambar Bernama
PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio percaya pasukannya mungkin boleh menjaringkan lebih banyak gol ketika membelasah Selangor FC 6-1 dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Menurutnya, pemain JDT memiliki fizikal dan keupayaan yang bagus selain bermain dengan sangat baik dalam perlawanan itu sekali gus mempunyai peluang untuk menambah gol.
"Sentiasa dalam minda saya adalah untuk memenangi perlawanan. Saya tidak rasa sangsi kerana saya mempercayai 100 peratus pemain saya, bos dan staf.
"Saya tidak tahu jika permainan berlangsung 10 minit lagi, mungkin kami akan terus jaringkan gol kerana secara fizikal JDT adalah sangat bagus. Kami juga bermain dengan baik.
"Tetapi, ini adalah bola sepak saya tidak tahu apa akan terjadi jika permainan diteruskan. Tetapi, saya sangat gembira kerana pemain menunjukkan persembahan baik malam ini," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
JDT mengukuhkan status mereka sebagai kuasa bola sepak Malaysia apabila menambah koleksi kejuaraan Piala FA buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Selangor. - Sinar Harian
#final piala FA #JDT #Selangor FC #JDT menang Piala FA