Jesus akhirnya tinggalkan Kelantan

Astro Arena
Mei 29, 2019 16:00 MYT
Cassio De Jesus membuat pengumuman untuk meninggalkan Kelantan menerusi akaun Instagram miliknya- Foto Stadium Astro/Abe Jera
PEMAIN pertahanan kesayangan peminat Kelantan, Cassio De Jesus, mengesahkan akan meninggalkan The Red Warriors (TRW) apabila jendela kedua perpindahan pemain ditutup secara rasminya malam ini.
Dalam laman Instagram miliknya, Jesus mendedahkan faktor kewangan pasukan yang kritikal menyebabkan dia mengambil keputusan untuk meninggalkan Kelantan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain dan pengendali Kelantan.
"Saya tidak ingin pergi tetapi ada masalah kewangan kelab yang membenarkan perkara ini berlaku," katanya.
Jesus, yang juga bekas pertahanan Semen Padang, tetap menyuntik motivasi kepada pemain TRW yang lain supaya percaya dengan kemampuan diri untuk kekal dalam Liga Perdana musim depan.
"Kepada rakan-rakan saya yang tinggal, mereka boleh kekal dalam Liga Perdana tahun ini dan juga bisa balik ke Liga Super tahun depan kerana Kelantan adalah kelab besar dari Malaysia," ujarnya.
Jesus juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada penyokong setia TRW yang sentiasa berdiri di belakangnya.
"Terima kasih juga di atas kasih sayang peminat yang sentiasa menyokong kami setiap masa," katanya.
Untuk rekod, keputusan Jesus itu akan menyebabkan Kelantan mengharungi baki saingan Liga Perdana musim ini tanpa awang import apabila penyerang kelahiran Uruguay, Raul Tarragona, dan Flavio Beck Junior terlebih dahulu mengucapkan selamat tinggal kepada TRW.
Yang tinggal hanyalah pemain tengah kebangsaan Afghanistan, Mustafa Zazai, yang langsung tidak tersenarai dalam percaturan ketua jurulatih, Yusri Che Lah.
#Cassio De Jesus #Kelantan #Liga Malaysia #Liga Perdana #The Red Warriors #TRW
;