Jersi pasukan ragbi All Blacks dibida pada harga RM28,000

Azyyati Ahmad
September 13, 2015 12:51 MYT
Hasil bidaan itu akan disalurkan sepenuhnya kepada Yayasan Malaysia-New Zealand bagi membantu pembiayaan pendidikan pelajar Malaysia ke New Zealand. - Foto Astro AWANI
Jersi pasukan ragbi All Blacks New Zealand dibida pada harga RM28,000 dalam majlis makan malam tahunan New Zealand Chamber of Commerce yang berlangsung malam tadi.
Jersi tersebut turut ditandatangani oleh 30 orang pemain pasukan tersebut termasuk 3 jurulatihnya, ketika kunjungan pasukan terkemuka itu ke Malaysia baru-baru ini.
Menurut Pengerusi New Zealand Chamber of Commerce, Richard Tankersley, hasil bidaan itu akan disalurkan sepenuhnya kepada Yayasan Malaysia-New Zealand bagi membantu pembiayaan pendidikan pelajar Malaysia ke New Zealand.
"Setiap wang bidaan itu, setiap sen daripadanya akan dimasukkan ke Yayasan Malaysia-New Zealand. Saya sebagai pengerusinya berasa ia satu perkara wajar bagi membantu membiayai biasiswa pendidikan pelajar Malaysia ke New Zealand.
"Jersi tersebut telah ditandatangani oleh semua pemain All Blacks pada Rabu, dan majlis ini berlangsung pada Sabtu. Jadi itu yang membuatkan jersi tersebut istimewa."
Majlis Makan Malam Tahunan New Zealand Chamber of Commerce yang ke-23 itu turut dikenali sebagai acara makan malam terbesar dan paling ditunggu-tunggu di ibu negara.
Ia telah berlangsung di sebuah hotel di ibu negara dengan disertai lebih 30 syarikat terkemuka negara.
#all blacks #New Zealand #Richard Tankersley
;