Jerman puas hati eksperimen ketengahkan pemain muda

Astro Arena
November 16, 2016 16:36 MYT
Joachim Low berpuas hati kerana eksperimen yang diketengahkan ke atas skuadnya untuk melebarkan rekod tanpa dibolosi kepada enam perlawanan berturut-turut. - Gambar fail / AFP
KETUA jurulatih Jerman, Joachim Low, berpuas hati dengan pertembungan taktikal ketika menentang Itali dan berkata, juara dunia itu menimba banyak pengajaran berguna dalam perlawanan persahabatan mereka.
Tiada gol dapat dihasilkan kedua-dua pasukan yang tidak mempertaruhkan barisan terbaik mereka dalam aksi di San Siro, Milan awal pagi tadi.
Jerman menerapkan barisan pertahanan yang tinggi, sementara Gianluigi Buffon dipaksa bekerja keras di penghujung separuh masa pertama untuk menafikan asakan Ilkay Gundogan dan Thomas Muller.
Penyerang kelab Torino, Andrea Belotti, pula sempat menggugat Jerman apabila percubaannya menuju ke tiang gol, manakala jaringan pemain sayap Jerman, Kevin Volland, dibatalkan kerana off-side.
Bagaimanapun, Low tetap berpuas hati kerana eksperimen yang diketengahkan ke atas skuadnya untuk melebarkan rekod tanpa dibolosi kepada enam perlawanan berturut-turut.
"Ia pertembungan taktikal yang tegang. Kami meraih manfaat besar daripada perlawanan ini," kata Low.
"Kami melancarkan serangan dengan baik, khususnya pada separuh masa pertama, sekalipun kami mengendurkan asakan pada babak berikutnya.
"Itali memperkemaskan permainan dan kami agak goyah.
"Para pemain muda kami menimba pengalaman berguna kerana berkesempatan bermain di hadapan penyokong seperti ini.
"Persembahan dan gaya para pemain bertindak balas lebih penting berbanding keputusan perlawanan.
"Kami boleh bergembira dengan kunjungan ke Itali, terutamanya kerana kami berjaya mengelakkan pintu gol daripada dibolosi dalam enam perlawanan berturut-turut.
"Rekod keseluruhan kami pada 2016 kali ini adalah bagus.
"Kami mahu menguasai kempen kelayakan Piala Dunia dan mengelak daripada kehilangan momentum. Ia sesuatu yang kami gagal lakukan dalam persiapan ke Euro 2016 yang lalu."
#Itali #Jerman #Joachim Low #Milan
;