Jerman-Portugal bakal sengit, Iran dijangka lepaskan 'underdog'

Haider Yutim
Jun 16, 2014 21:49 MYT
Kecederaan ringan Cristiano Ronaldo tidak menjadi halangan untuk Portugal beraksi cemerlang.
Kejohanan Piala Dunia FIFA 2014 menyaksikan hari keempat meyaksikan persembahan yang menakjubkan apabila pasukan Perancis berjaya menewaskan Honduras dengan 3-0 dalam perlawanan Kumpulan E di Estadio Beira-Rio di Porto Alegre awal pagi tadi.
Peminat seterusnya dihidangkan dengan aksi cemerlang pasukan Argentina melalui bintangnya, Lionel Messi yang telah menjaringkan ‘gol cantik’ ketika menentang Bosnia-Herzegovina dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F.
Namun, apakah yang bakal disaksikan pagi nanti iaitu perlawanan di antara Jerman menentang Portugal; Iran menentang Nigeria dan Ghana menentang Amerika Syarikat?
Dalam perlawanan yang dinanti-nantikan sebentar lagi iaitu Jerman menentang Portugal (Kumpulan G), ada sedikit keraguan sama ada bintang Portugal, Cristiano Ronaldo cukup cergas untuk bermain selepas mengalami kecederaan lutut kanannya ketika sesi latihan pada Khamis lalu.
Bekas penyerang Manchester United yang kini bermain untuk Real Madrid itu sememangnya berdepan masalah kecederaan lutut serta paha, namun pasukannya yakin dia mampu mempamerkan persembahan yang baik dan kecederaan ‘ringannya’ itu bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan.
Bagaimanapun masalah kecederaan bukan hanya dirasai oleh Portugal. Pasukan Jerman juga turut mengalami masalah yang sama apabila pemain tengahnya Marco Reus telah mengalami kecederaan pada tumit yang menyebabkan dia terpaksa dikecualikan dari bermain.
Namun begitu, dengan adanya pemain seperti Mesut Ozil, Lukas Podolski dan Per Mertesacker, pasukan Jerman dijangka memberikan saingan yang hebat kepada Portugal.
Bagi perlawanan Ghana menentang Amerika Syarikat, kedua-dua pasukan amat memerlukan kemenangan bagi membolehkan mereka berpeluang mengatasi sama ada Jerman atau Portugal untuk ke pusingan seterusnya.
Kedua-dua pasukan meskipun bukanlah ‘favourite’ dalam kumpulan G ini, mereka masih berbakat untuk mempamerkan persembahan yang baik pada perlawanan malam ini, dan mungkin juga membuat kejutan bagi peminat-peminat bolasepak.
Mereka dijangka akan cuba sedaya upaya mengalahkan satu sama lain dalam permainan yang sengit ini, namun keputusan dijangka akan berakhir dengan seri.
Untuk perlawanan Kumpulan F, Iran menentang Nigeria, pasukan Nigeria bakal meneruskan rekod tanpa kalah mereka dengan Iran di mana mereka telah menewaskan pasukan itu sebelum ini pada 1998 dalam perlawanan persahabatan.
Pasukan yang diberi nama jolokan ‘Super Eagles’ itu merupakan pasukan ‘favourite’ untuk perlawanan ini lebih-lebih lagi apabila benteng pertahanan mereka dikawal oleh pemain muda, Kenneth Omeruo.
Sungguh pun begitu, Iran juga dikatakan lengkap dengan pemain-pemain underdog mereka yang ‘top form’, yang dijangka akan memberi tentangan hebat kepada Nigeria.
Selain itu, pengurus pasukan mereka, Carlos Queiroz juga pernah menjadi pembantu pengurus Sir Alex Ferguson di Manchester United selama lima tahun, serta pasukan itu tidak pernah kalah dalam empat perlawanan persahabatan terakhir mereka.
#2014 #Amerika Syarikat #Ghana #Iran #Jerman #Nigeria #OlaBola #Piala Dunia #Portugal
;