Jepun lebar penguasaan di Kejohanan BMX Antarabangsa Malaysia 2022

Bernama
Ogos 21, 2022 18:49 MYT
Ryo Shimada mengetepikan cabaran Fasya Ahsana Rifki dari Indonesia yang membawa pulang perak, manakala wakil negara Saniy Syahmi Mohd Safiee terpaksa berpuas hati dengan gangsa. - Facebook Ryo Shimada
NILAI: Kehebatan Jepun dalam lumba basikal BMX ternyata sukar digugat apabila empat pelumbanya hari ini meraih pingat emas pada Kejohanan Lumba Basikal BMX Antarabangsa Malaysia 2022 di Arena BMX Nasional di sini.
Segar dengan kejayaan merangkul emas di Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia (ACC BMX) 2022 yang berakhir semalam, pelumba sensasi Ryo Shimada ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila sekali lagi mengungguli kategori Bawah 23 Tahun (B-23).
Atlet berusia 22 tahun itu mengetepikan cabaran Fasya Ahsana Rifki dari Indonesia yang membawa pulang perak, manakala wakil negara Saniy Syahmi Mohd Safiee terpaksa berpuas hati dengan gangsa.
"Sudah tentu saya amat gembira dengan kejayaan hari ini. Tekanan itu tetap ada, tambahan pula saya baru memenangi pingat emas ACC BMX 2022 semalam, jadi pastinya beberapa pelumba lain mahu menewaskan saya pada perlumbaan hari ini.
"Dua kejohanan yang berlangsung di Malaysia ini amat penting untuk saya beraksi pada Sukan Olimpik Paris 2024. Mata yang dikutip dalam kedua-dua kejohanan ini memberikan saya lebih peluang beraksi di Olimpik nanti," kata Shimada dalam bahasa Jepun yang diterjemahkan ketika ditemui di sini, hari ini.
Selain kejayaan Shimada, Jepun turut unggul membawa pulang pingat emas dalam kategori junior lelaki menerusi Hyoga Kiuchi, Jui Yabuta (B-23 wanita) dan Kanami Tanno (elit wanita).
Dalam pada itu, pelumba Thailand Komet Sukprasert sekali lagi menampilkan kayuhan bertenaga apabila menyambar pingat emas kategori elit lelaki, manakala dua pelumba Indonesia Gusti Bagus Saputra dan Yussi Wakhidur Rizal masing-masing merangkul perak dan gangsa.
Sementara itu, pelumba Malaysia tidak pulang tangan kosong apabila Eddyna Nasuhar Zainal Abidin memenangi pingat gangsa B-23 wanita, sekali gus mengulangi pencapaiannya menduduki tangga ketiga pada ACC BMX di venue sama, semalam.
Pingat emas acara itu dimenangi pelumba Jepun Jui Yabuta manakala pelumba Korea Selatan Kim Taeyoung meraih perak.
"Ya saya tetap gembira walaupun hanya meraih pingat gangsa. Jika dibandingkan dengan prestasi semalam (Sabtu), saya dapat rasakan prestasi hari ini jauh lebih baik kerana saya bersaing sengit dengan pelumba Korea Selatan.
"Saya mahu fokus kepada Sukan Malaysia (Sukma) bulan hadapan bagi mewakili Terengganu dan memperbaiki rekod di mana pada edisi 2018 di Perak saya berjaya meraih tempat kedua, harap selepas ini saya boleh merangkul pingat emas," kata Eddyna Nasuhar.
-- BERNAMA
#ryo shimada #kejohanan lumba basikal #bmx asia #Jepun
;