Jepun kejutkan China untuk layak ke final Piala Thomas

Astro Awani
Mei 23, 2014 13:07 MYT
Jepun kejutkan China untuk layak ke final
Pasukan badminton lelaki Jepun mencatat sejarah apabila menewaskan kuasa badminton Asia iaitu China untuk menempah slot perlawanan akhir Piala Thomas.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Sri Forts di India, Jepun menewaskan China dengan keputusan 3-0 dan sekaligus akan menanti cabaran antara Malaysia dan Indonesia pada akhir nanti.
China tidak pernah menerima kekalahan yang memalukan semenjak 2002 dimana mereka tewas 3-1 di tangan Malaysia ketika itu dan ini pula merupakan penampilan pertama Jepun dalam perlawanan akhir.
Kemenangan Jepun itu dimulakan dengan persembahan meyakinkan daripada pemain perseorangan Kenichi Tago dan Kento Momota dan juga beregu, Hiroyuki Endo dan Kenichi Hayakawa.
Pemain nombor empat dunia, Kenichi memulakan aksi dengan menetang pemain nombor dua dunia China, Chen Long dan perlawanan yang memakan masa 43 minit itu berpihak kepada Kenichi yang menang dengan 'straight set' 21-13, 21-11.
Cabaran Jepun kemudian diteruskan dengan gandingan beregu, Hiroyuki-Kenichi yang berjaya menjinakkan pasangan China, Chai Biao-Hong Wei, 22-20 dan 21-19 untuk memberi mata kedua Jepun.
Mata kemenangan Jepun akhirnya diraih apabila pemain muda Jepun, Kento Momota yang berdepan pemain nombor enam dunia, Du Pengyu terpaksa berhempas pula tiga set sebelum menang 23-25, 21-18 dan 21-14.
Ini merupakan penampilan sulung Jepun dalam pentas akhir Piala Thomas yang sebelum ini tidak langsung diletakkan sebagai pilihan untuk memenangi piala ini.
#China #Jepun #Piala Thomas