Jepun bermandi peluh sebelum atasi skuad muda Vietnam 4-2
Bernama
Januari 14, 2024 05:20 MYT
Januari 14, 2024 05:20 MYT
DOHA: Bekas penyerang Liverpool Takumi Minamino memainkan peranan penting dalam kejayaan Jepun yang bangkit menewaskan Vietnam 4-2 pada perlawanan pembukaan Kumpulan D saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Thumama di sini pada Ahad.
Pemain berusia 28 tahun yang kini beraksi bersama pasukan AS Monaco mempamerkan sentuhan berbisanya apabila menjaringkan dua gol selain turut melakukan satu bantuan jaringan demi memastikan skuad Samurai Biru meraih kemenangan penting dalam pertembungan dramatik itu.
Jepun di bawah kendalian Hajime Moriyasu tidak menunggu lama untuk berada di hadapan selepas Minamino memanfaatkan lantunan semula bola dalam kotak penalti, menewaskan penjaga gol lawan Nguyen Filip pada mint ke-11.
Bagaimanapun, lima minit kemudian pasukan terbaik Asia di ranking dunia ke-17 itu dikejutkan dengan gol penyamaan Vietnam di bawah bimbingan bekas jurulatih Jepun Philippe Troussier hasil tandukan cantik penyerang Nguyen Dinh Bac berpunca sepakan penjuru kaptennya Do Hung Dung.
Jaringan tersebut ternyata membakar semangat Vietnam yang rata-rata dibarisi pemain muda susulan lambakan pemain utama mengalami kecederaan apabila mendahului perlawanan selepas Pham Tuan Hai yang tidak dikawal mudah menolak bola tampanan kurang kemas Zion Suzuki pada minit ke-33.
Menghampiri waktu rehat, Jepun berjaya menyamakan kedudukan, sekali lagi hasil penyudah Minamino yang bijak menyelinap antara pemain pertahanan Vietnam untuk menyambut lorongan kapten Wataru Endo sebelum melepaskan rembatan leret ke penjuru kiri gawang lawan.
Masa kecederaan enam minit diberikan pengadil dari Korea Selatan Kim Jong Hyeok dimanfaatkan sepenuhnya Jepun untuk kembali mendahului perlawanan 3-2 menerusi rembatan lencong dari luar kotak penalti Keito Nakamura melepasi jangkauan Filip.
Bersambung babak kedua, Jepun melebarkan penguasaan bola tetapi buntu dalam usaha menambah jaringan sehingga di penghujung perlawanan apabila pemain gantian Ayase Ueda memanfaatkan bola umpanan Takefusa Kubo pada minit ke-85 sekali gus mengesahkan kemenangan pasukan.
Jepun akan membuat perhitungan dengan juara 2007 Iraq manakala Vietnam akan bertemu Indonesia dalam aksi kedua kumpulan pada 19 Jan.
-- BERNAMA