Jenni Hermoso buat aduan rasmi terhadap ciuman Luis Rubiales
Astro Awani
September 7, 2023 09:30 MYT
September 7, 2023 09:30 MYT
MADRID: Pemain bola sepak wanita Sepanyol, Jennifer Hermoso, membuat aduan rasmi berkaitan insiden dicium Presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol, Luis Rubiales.
Ketika majlis penyerahan pingat di Sydney pada 20 Ogos lalu, Rubiales didakwa mencium Hermoso di bibir selepas pasukannya memenangi Piala Dunia Wanita, tanpa kerelaannya.
Sebelum ini Rubiales mendakwa ciuman itu atas kerelaan kedua-dua belah pihak namun beliau telah digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
Aduan tersebut bermakna Rubiales mungkin berdepan dakwaan jenayah.
"Pejabat Pendakwa Raya akan mengemukakan aduan secepat mungkin.
"Keterangan Hermoso telah dirakam di pejabat Peguam Negara bagi melindungi privasi mangsa," kata Pejabat Pendakwa Raya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada 29 Ogos lepas, pihak pendakwa raya Sepanyol telah memulakan siasatan bagi mengenal pasti jika insiden berkenaan boleh diklasifikasikan sebagai serangan seksual.
Di sebalik skandal yang melibatkan Rubiales itu juga, ketua jurulatih yang membantu Sepanyol memenangi Piala Dunia Wanita, Jorge Vilda, turut dipecat Selasa lalu.