Jelajah Toyota 2023 perkukuh kesungguhan bangunkan sukan golf Malaysia

Israr Khalid
November 24, 2023 21:12 MYT
Pemain negara, Paul San menamatkan cabaran Kejohanan Jelajah Toyota 2023 di Saujana Golf & Country Club, Shah Alam bersama rakan senegara, Galven Green.
KUALA LUMPUR: Kejayaan penganjuran Jelajah Toyota 2023 yang melabuhkan tirainya pada 18 November tempoh hari menjadi manifestasi kesungguhan membangunkan sukan golf di Malaysia.
Dibawakan oleh UMW Toyota Motor dengan kerjasama Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) dan MST Golf, Jelajah Toyota dilihat berada di landasan tepat sebagai medan ujian pemain golf profesional negara juga pentas mencungkil bakat-bakat baharu.
Kejohanan itu mencerminkan semangat Toyota untuk sentiasa menggapai kecemerlangan dan komitmennya untuk merapatkan jurang antara golf profesional dengan amatur di negara ini.
“Jelajah Toyota adalah satu-satunya jelajah golf profesional di negara ini dan kami mahu menjadi sebahagian daripada penggerak komuniti supaya kita dapat melahirkan bakat-bakat berkualiti kepada dunia.
“Kita sudah ada beberapa (bakat tempatan) dan kita harap nanti dapat menjadi jelajah ‘feeder’ kepada ADT, kepada Jelajah Asia dan seterusnya Jelajah Dunia ADT,” kata Pengurus Besar Pemasaran UMW Toyota, Nicky Lim.
Jelajah Toyota 2023 yang bermula pada Februari menjelajah ke 10 venue di seluruh negara, menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM2.2 juta.
Penganjuran tahun ini memperlihatkan keupayaan para pemain negara, antaranya Ervin Chang, pemenang dua pingat emas Sukan SEA Hanoi 2022, merangkul gelaran juara Piala Mirai di Sarawak Golf Club, Kuching pada Mei, yang menjadi kemenangan profesional pertamanya.
Kemudian beliau berjaya menamatkan cabaran Piala Vios di tempat kedua pada Jun di Templer Park Country Club, Rawang yang dijuarai oleh rakan senegara, Edven Ying.
Antara nama lain yang turut menyinar adalah Shahrifuddin Ariffin, Wafiyuddin Manaf, Daeng Abdul Rahman, Danial Faidz, Amir Nazrin, serta Paul San dan Galven Green, yang berkongsi tempat keempat pada kejohanan penutup Jelajah Toyota 2023 di Saujana Golf and Country Club, Shah Alam.
Pada Kejohanan Toyota pada 14 hingga 18 November itu, pemain Thailand, Suttinon Panyo dinobat sebagai juara, membawa pulang RM61,250 ditambah bonus ‘hole-in-one’ RM3,000 serta trofi yang disampaikan Naib Pengerusi UMW Toyota Motor, Takashi Obata.
Adnan Othman, Ng Yap, Choy Thiam Hwa, Suttinon Panyo, Takeshi Obata, Ken Kudo, Nik Mustapha, Nicky Lim.
Pemain-pemain veteran negara turut tidak ketinggalan daripada beraksi, antaranya Danny Chia (yang memenangi saingan pembukaan di Saujana), Jocelyn Chee (pemenang kategori wanita Piala Vios), Airil Razman, R. Nachimuthu, Nicholas Fung, Ben Leong, Sukree Othman, Wilson Choo, Shaifubari Muda, dan Khor Kheng Wai.
Aretha Pan pula cemerlang mewakili kaum hawa dengan mengungguli Trofi Tun Ahmad Sarji di Saujana pada Mac, Piala Alphard di pada Ogos di Palm Garden Golf Club dan menamatkan cabaran di tempat kedua dalam kategori lelaki Piala Hilux di Sabah Golf & Country Club pada Mei.
Banyak pencapaian dilakar dalam penganjuran sulung Jelajah Toyota ini, antaranya menjadi penaja utama untuk kesemua kejohanan profesional tempatan, mengurangkan penggunaan plastik dengan menempatkan sekurang-kurangnya lima stesen isian semua air, memasang muzik di tee pertama dan ke-10, serta meletakkan monitor pelancar TrackMan untuk pemain mendapat bacaan jarak tepat untuk kayu golf yang digunakan.
Di samping penganjuran kejohanan profesional, Toyota turut membuat pelaburan dalam program elit junior, menerapkan konsep yang sama seperti program pembangunan sukan permotoran mereka.
Nicky memaklumkan, ketika ini enam orang remaja lelaki dan enam lagi remaja wanita menjalani program empat bulan yang tidak hanya meliputi latihan teknikal golf, tetapi juga aspek mental dan fizikal untuk mempersiapkan mereka menjadi pemain golf bertaraf dunia.
“Satu aspek tentang Jelajah Toyota ini adalah kita tidak hanya membenarkan pemain junior bertanding, contohnya tiga orang daripada mereka bermain sementara tiga lagi menjadi kedi kepada mereka.
“Jadi harapnya kita memberi pandangan dan ilmu menyeluruh dalam sukan golf kepada mereka,” jelas Nicky.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak untuk bersama menjayakan misi besar itu demi memartabatkan sukan golf tanah air.
Perkukuh kesungguhan bangunkan sukan golf Malaysia
#Toyota #Toyota Cup #UMW Toyota #golf
;