Jelajah Malaysia kembali warnai kejohanan berbasikal negara
Bernama
Januari 7, 2023 05:00 MYT
Januari 7, 2023 05:00 MYT
MELAKA: Perlumbaan jelajah berbasikal tertua di Asia, Jelajah Malaysia kembali mewarnai kalendar kejohanan berbasikal di negara ini selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata kejohanan edisi ke-54 itu akan berlangsung selama lima hari pada 26 Feb hingga 2 Mac.
Beliau berkata penganjuran kali ini melibatkan 24 pasukan dengan penyertaan 120 pelumba melalui lima peringkat bermula di Bandaraya Melaka dan tamat di Bandar Baru Bangi, Selangor.
"Perlumbaan peringkat pertama membabitkan jarak sejauh 148 kilometer (km) seterusnya peringkat kedua dari Setia Alam ke Cyberjaya dan peringkat ketiga dari Shah Alam ke Teluk Intan.
"Manakala perlumbaan peringkat keempat bermula dari Bagan Datuk, Perak ke Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang akan menjadi laluan perlumbaan paling mencabar bagi kejohanan kali ini dengan jarak perlumbaan sejauh 145km sebelum peringkat terakhir bermula di Tapah dan tamat di Bandar Meru Raya, Ipoh Perak," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Jelajah Malaysia edisi ke-54 di Kota Laksamana pada Sabtu.
Turut hadir Pengarah Eksekutif kejohanan Datuk Nik Rosma Nik Mohamed.
Abu Samah berkata kejohanan tersebut juga menjadi penanda aras kejohanan sukan berbasikal di Malaysia dengan penyertaan sebanyak 16 pasukan antaranya JCL Team Ukyo (Jepun), Tashkent City Profesional Team (Uzbekistan) dan Sidi Ali Unlock Team (Morrocco).
Selain itu, penyertaan dari KSPO Profesional Team (Korea Selatan), St George Continental Cycling Team (Australia), Global 6 Cycling (New Zealand), Mula (Indonesia) serta pasukan dari Malaysia iaitu Terengganu Polygon Cycling Team dan Team Sapura Cycling serta pasukan kebangsaan Malaysia dijangka bakal memberi saingan sengit.
Sementar itu, beliau berkata penganjuran kali ini penting memandangkan ia ditunda beberapa kali atas pelbagai sebab selain pandemik COVID-19, dan akhirnya kejohanan yang diklasifikasikan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sebagai perlumbaan kategori 2.2 ini berjaya direalisasikan.
Jelajah Malaysia mula diperkenalkan pada 1963 dan kini menjadi satu daripada perlumbaan jelajah berbasikal paling berprestij dalam kalangan pasukan Asia dan antarabangsa selain pernah melahirkan nama-nama besar dalam sukan ini.
Abu Samah juga positif Jelajah Malaysia menjadi platform terbaik untuk melahirkan kembali pelumba-pelumba muda yang mampu diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
"Kejohanan ini pernah melahirkan nama-nama besar seperti Suhardi Hassan, Loh Sea Keong, Anuar Manan, Mohd Zamri Salleh, Mohd Harif Salleh, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan Mohd Adiq Hussainie Othman dan menjadi pemenang keseluruhan, jersi pecut atau pun menjadi pelumba terbaik Asia.
"Justeru, kita melihat Jelajah Malaysia ini platform bagi pelumba muda Malaysia bersaing dan menimba pengalaman berharga kerana bermula penyertaan acara ini jumlah pelumba Malaysia yang diterima masuk ke pasukan antarabangsa meningkat," katanya.
-- BERNAMA