Jelajah Benua Olahraga Dunia: Azeem bakal beraksi di Jepun?
Astro Arena
September 28, 2022 06:45 MYT
September 28, 2022 06:45 MYT
PELARI pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi, ironinya 'pulih' daripada kecederaan otot di bahagian kaki kanannya pasca daripada insiden yang meragut kilauan pingat emas pelari berusia 18 tahun itu pada saingan akhir 200 meter Sukma yang lalu.
Apakah Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan 100 meter itu benar-benar cergas untuk mengetuai skuad olahraga yang turut dibarisi Mohd Eizlan Dahalan (lompat tinggi), Queenie Ting Kung Ni (lempar cakera) ke Jelajah Benua Olahraga Dunia 2022 di Niigata, Jepun?
Azeem menjadi perhatian susulan penamat sukar dalam saingan 200 meter sukma yang dimenangi pelari pecut Johor, Muhammad Arsyad Md Saat -- paling mendebarkan keadaan Azeem yang terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapat rawatan susulan selepas saingan berakhir.
Namun status pelari terpantas acara reben biru negara itu sekali lagi menjadi tumpuan utama selepas disenaraikan ke Jepun dan bakal beraksi dalam saingan 200 meter.
"Azeem dalam keadaan cergas untuk beraksi di Jepun. ISN telah menjelaskan atlet itu sekadar mengalami ketegangan otot," kata Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil.
"Dia memperlahankan larian ketika acara 200m kerana dia mengambil langkah selamat bagi mengelak daripada kecederaan yang serius.
"Dia akan beraksi dalam acara sama kerana 100m tidak dipertandingkan."
Penjelasan ketua jurulatih olahraga negara itu ternyata disambut baik ekoran bebanan tanggungjawab yang dipikul Azeem pada saingan kompetitif sulungnya musim ini.
Pada ketika Azeem dikhuatiri dilanda kecederaan hamstring -- namun pelari kelahiran Perak itu disahkan pakar Institut Sukan Negara (ISN) hanya dilanda kecederaan quadriceps.
Difahamkan barisan kejurulatihan olahraga negara menetapkan sasaran asas buat Azeem -- melakukan catatan bawah 21 saat di Jepun sekali gus menyamai larian bertenaga yang dilakukan di Kejohanan Remaja Dunia di Cali, Colombia.
"Azeem telah pun menjalani latihan selepas tamat saingan Sukma kali ini, kami tidak meletakkan sebarang tekanan kepada mereka di sana. Dia telah melewati musim yang agak panjang jadi saingan di Jepun adalah yang terakhir bagi tahun ini," kata Pengurus pasukan, Lee Hup Wei.
"Bertindak sebagai pelatih untuk mereka, saya akan cuba kongsikan pengalaman kepada mereka ketika menghadapi saingan antarabangsa nanti."