Jeganathan alih fokus ke Sukan SEA 2017
Astro Arena
Disember 9, 2015 07:30 MYT
Disember 9, 2015 07:30 MYT
Lapan rekod temasya, dua rekod Asia dan satu menyamai rekod Asia sudah cukup untuk membuktikan olahraga di Sukan Para ASEAN paling banyak membantu kutipan emas negara.
Namun di sebalik kejayaan itu, siapa sangka kepayahan yang terpaksa di lalui sebelum kehebatan mereka cetus kagum kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.
Menurut ketua jurulatih olahraga negara, R. Jeganathan, beliau mahu menggandakan usahanya supaya kontinjen negara dapat melepasi sasaran 28 emas yang ditetapkan tahun ini bagi Sukan SEA 2017 nanti.
"Berdasarkan keputusan di Myanmar, memang sasaran saya adalah 28 emas dan telah berjanji untuk melepasi sasaran itu apabila temasya sukan sea di kuala lumpur bermula.
"Kami kutip 27 emas, 16 perak dan 8 gangsa kali ini jadi saya perlu lebih komited untuk mengubahkan 16 perak itu kepada pingat emas," katanya.
Pada masa yang sama, Jeganathan mendedahkan perjalanannya bersama kesemua anak buahnya merupakan satu penglaman yang penuh kepedihan dan kegembiraan.
"Tugas menjaga anak keistimewaan bukan senang kerana ada pelbagai kategori dan perbezaan antara kami dan mereka jadi kita sebagai jurulatih bersabar dan menunjuk kasih sayang kerana itulah pembakar semangat bagi mereka untuk membawa pulang pingat emas," tambahnya.
Mengambil pelari pecut Ridzuan Puzi sebagai contoh, Jeganathan menyifatkan sikap kesabaran dan persefahaman unik bersama setiap atlet merupakan kunci mencapai prestasi terbaik.
"Ridzuan Puzi datang pada 2011 dan saya akui memang sukar untuk berkomunikasi dengannya.
"Mula-mula dia datang semua sindirkan dia kerana kelakuan dan percakapannya tetapi perlahan-lahan kami telah membina dia untuk menjadi seorang atlet juara dunia" ujarnya.