Jeddah dipilih tuan rumah Piala Dunia Kelab 2023

Bernama
Jun 27, 2023 11:20 MYT
Piala Dunia Kelab FIFA akan menjadi kejohanan sulung yang diadakan di Arab Saudi. Diperkenalkan pada 2000, Piala Dunia Kelab kali terakhir dimenangi oleh Real Madrid pada 2022. - Foto Twitter brfootball
ANKARA: Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kedua-duanya mengesahkan pada Isnin Piala Dunia Kelab FIFA 2023 akan berlangsung di bandar Jeddah, Arab Saudi.
Keputusan itu dibuat berikutan lawatan delegasi FIFA ke Jeddah untuk menilai persiapan berterusan bagi kejohanan tersebut yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 22 Disember.
"Kami gembira kerana Jeddah dengan kemudahan terkini dan reputasinya untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa utama telah dipilih sebagai tuan rumah untuk Piala Dunia Kelab FIFA.
"Sukan adalah pemacu utama transformasi berterusan Arab Saudi di bawah Wawasan 2030, yang menjadikan negara itu sebagai satu daripada negara yang paling pesat berkembang dan paling menarik dalam sukan dunia," lapor Agensi Anadolu memetik Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi, Yasser Al Misehal.
Piala Dunia Kelab FIFA akan menjadi kejohanan sulung yang diadakan di Arab Saudi.
Diperkenalkan pada 2000, Piala Dunia Kelab kali terakhir dimenangi oleh Real Madrid pada 2022.
Pertandingan mengikut format kalah mati diadakan dalam kalangan pemenang Liga Juara-Juara AFC (Asia), Liga Juara-Juara CAF (Afrika), Piala Juara-Juara CONCACAF (Amerika Utara, Tengah dan Caribbean), CONMEBOL Libertadores (Amerika Selatan), Liga Juara-Juara OFC. (Oceania) dan Liga Juara-Juara UEFA (Eropah), bersama-sama juara kebangsaan negara tuan rumah.
-- BERNAMA
#Piala Dunia Kelab FIFA 2023 #FIFA #Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi #Jeddah
;