JDT tidak dibenarkan ke Doha untuk saingan ACL

Astro Awani
November 11, 2020 19:08 MYT
Keputusan kerajaan tidak membenarkan pasukan JDT ke Doha dibuat berikutan pintu sempadan negara masih ditutup dan rakyat Malaysia tidak dibenarkan ke luar negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak membenarkan pasukan Johor Darul Tazim (JDT) ke Doha, Qatar bagi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berikutan pintu sempadan negara masih ditutup dan rakyat Malaysia tidak dibenarkan ke luar negara.
"Polisi kita sama, sempadan masih ditutup. Daripada warga asing (kita tidak benarkan) kepada rakyat kita tidak benarkan keluar negara termasuk pasukan bola sepak ini. Kita tidak tahu apa SOP (prosedur operasi standard) di luar negara itu, sama ada, ada atau tidak ada," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau berkata, dasar yang ditetapkan kerajaan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sama dan tidak membenarkan mana-mana warganegara ke luar negara.
"Pertama disebabkan tertakluk kepada sempadan negara ditutup. Walau menteri sekalipun yang ada persidangan penting melibatkan kerjasama dua hala dengan negara lain, tidak dapat dilakukan.
"Dalam kes ini, kita tidak benarkan (JDT) ke luar negara untuk menjamin keselamatan pemain sebab kita tidak tahu SOP luar negara itu. Jadi untuk (pemain ke) Doha tidak dibenarkan," tambahnya lagi.
JDT yang juga Juara Liga Super tujuh musim berturut-turut sepatutnya beraksi dalam saingan ACL bagi zon timur di Doha bermula 18 November hingga 13 Disember ini.
#JDT #Doha #tidak dibenarkan #COVID-19 #kerajaan #sempadan #PKP #Liga Juara-Juara Asia #ACL
;